TIANJIN : Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) harus memainkan peranan sebagai peneraju dan model dalam melaksanakan Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI). Presiden China Xi Jinping membuat kenyataan itu ketika berucap pada Mesyuarat ‘SCO Plus’ yang dipengerusikannya di Pusat Pameran dan Konvensyen Meijiang. Xi berkata prinsip tidak bersekutu, tidak berkonfrontasi dan tidak menyasarkan pihak ketiga perlu terus dijunjung. Usaha juga harus dipergiat bagi membina komuniti keselamatan bersama di rantau ini, sekali gus menjadi pemacu kestabilan dunia. Pemimpin itu turut mengumumkan penubuhan tiga platform utama bagi kerjasama China-SCO dalam bidang tenaga, perindustrian hijau dan ekonomi digital. Tiga pusat kolaborasi akan dibangunkan membabitkan inovasi teknologi, pendidikan tinggi serta pendidikan vokasional dan teknikal. China bersedia membangunkan pusat kerjasama pengaplikasian kecerdasan buatan (AI) bersama negara anggota lain dan berkongsi hasil kemajuan yang dicapai dalam bidang itu. Beliau turut mengalu-alukan penyertaan semua untuk menggunakan Sistem Navigasi Satelit Beidou dan mengambil bahagian dalam projek Stesen Penyelidikan Bulan Antarabangsa. Dalam tempoh lima tahun akan datang, China menyasarkan untuk merawat seramai 500 pesakit yang mengalami kecacatan jantung kongenital (CHD). China juga akan melaksanakan 5,000 pembedahan katarak mata, dan menjalankan 10,000 saringan kanser untuk negara anggota SCO. Xi turut menegaskan sokongan China kepada SCO untuk memperluas kerjasama dengan mekanisme pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN dan Persidangan mengenai Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA). China akan bersama-sama menjaga orde dagangan antarabangsa dan membaiki tadbir urus global dan serantau. – Bernama, CMG