KUALA LUMPUR : Kementerian Pengangkutan sedang mengadakan libat urus bersama pihak berkepentingan dalam industri pengangkutan darat, yang antara lain bagi meneliti cadangan penggunaan teknologi sistem pemantauan digital untuk mengesan tahap keletihan dan kesihatan pemandu, khususnya melibatkan isu gangguan tidur atau sleep apnea. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata perbincangan juga dilaksanakan dengan pelbagai pihak termasuk pengusaha industri, inovator dan syarikat logistik terutama yang terlibat dalam pengangkutan berat dan ringan. “Kita memang peka tentang (sleep apnea) ini. Dulu juga ia (sistem pemantauan digital kesihatan pemandu) pernah dibangkitkan tentang kosnya sebab memang kena belanja beratus ringgit untuk setiap sekali pemeriksaan dan sebagainya. “Namun, dengan MoA (memorandum perjanjian) yang baharu ini nanti kita akan melihat perkara ini secara menyeluruh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Koh Nai Kwong yang ingin tahu sekiranya kerajaan mempertimbangkan penggunaan teknologi wearable devices atau sistem pemantauan digital bagi mengesan tahap keletihan dan kesihatan pemandu Kenderaan Perkhidmatan Awam. Pada Mei lepas, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Alpha International Training and Consultancy memeterai MoA bagi kerjasama membangunkan serta melaksanakan program latihan khusus dalam bidang keselamatan jalan raya dan aspek berkaitan antaranya Program Pensijilan Pemulihan dan Pengurusan Tidur. Program itu bertujuan menangani isu kurang tidur dan impaknya terhadap keselamatan jalan raya selain meningkatkan kesedaran, menggalakkan perubahan tingkah laku dan melengkapi pengguna jalan raya terutama pemandu komersial serta pengendali pengangkutan dengan kemahiran mengurus keletihan secara berkesan. Menyentuh tentang inovasi, Hasbi berkata kementerian turut memberi perhatian terhadap cadangan penggunaan teknologi canggih seperti sistem pengecaman identiti pemandu melalui stereng kenderaan yang mampu mengesan tahap kesihatan seperti kadar degupan jantung sebaik sahaja ia dipegang. Beliau berkata menerusi inovasi tersebut, ia mampu mengelakkan pemandu yang tidak sihat daripada memulakan perjalanan. “Kita ambil perhatian perkara ini (termasuk) dengan MoA yang dibuat dengan industri tentang sleep apnea. Kementerian akan merumus apakah hasil daripadanya (MoA) dan apakah langkah seterusnya,” katanya. – Bernama