KUALA LUMPUR : Asia akan mengekalkan kepimpinannya dalam pembuatan cip untuk tempoh lima tahun akan datang, disokong oleh kelebihan kos, ekosistem yang mantap dan kepakaran teknikal yang mendalam, kata Moody’s Ratings hari ini. Ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi mendorong syarikat-syarikat semikonduktor Asia untuk mempelbagaikan operasi secara geografi. “Asia kini menguasai lebih 75 peratus daripada keseluruhan kapasiti pembuatan cip, merangkumi fabrikasi wafer untuk logik, memori dan cip DAO — termasuk diskret, analog, optoelektronik dan penderia — serta bekalan bahan utama,” kata Moody’s Ratings dalam satu nota penyelidikan hari ini. Ekonomi-ekonomi di Asia Selatan dan Asia Tenggara sedang muncul sebagai hab bahagian hiliran, tetapi jurang teknikal mengekang keupayaan mereka untuk memperoleh nilai ekonomi yang lebih besar. Malaysia menerajui dalam bidang pemasangan, pengujian dan pembungkusan, manakala India sedang berkembang dalam bidang fabrikasi dan reka bentuk. “Semikonduktor akan memacu pertumbuhan eksport bagi ekonomi-ekonomi ini, namun kemajuan ke segmen bernilai lebih tinggi terbantut disebabkan oleh kelemahan dalam penyelidikan dan pembangunan, harta intelek, bakat serta infrastruktur di kebanyakan negara. “Kemajuan akan bergantung kepada sokongan kerajaan, inovasi dan perkongsian global,” katanya. Taiwan, Korea dan Jepun akan mengekalkan kepimpinan mereka dalam pembuatan cip termaju walaupun terdapat peningkatan pelaburan luar negara dan pertumbuhan di China. “Walaupun China beralih kepada pembekal domestik yang menyebabkan sebahagian permintaan terjejas, kepelbagaian dalam eksport dan pelaburan ke dalam ekonomi Asia yang sedang pesat membangun berkemungkinan mengimbangi kesan ini,” katanya. Kekurangan bekalan pada era pandemik mendedahkan kelemahan dalam rantaian bekalan yang tertumpu di rantau ini, manakala ketegangan geopolitik yang berterusan khususnya antara Amerika Syarikat (AS) dan China, telah memperhebatkan desakan untuk kepelbagaian lokasi. Moody’s Ratings menegaskan bahawa kelebihan daya saing Asia terletak pada kelebihan kos, integrasi ekosistem yang mendalam dan tenaga kerja mahir. “Sebagai contoh, kos tenaga kerja di AS adalah kira-kira dua hingga empat kali ganda lebih tinggi berbanding di Asia. Pembuatan wafer di AS sekitar 50 peratus lebih mahal berbanding di Taiwan disebabkan oleh perbelanjaan penubuhan dan operasi kilang yang lebih tinggi merangkumi kos buruh, tanah dan utiliti,” tambahnya. Selain gaji, loji fabrikasi di Asia juga mempunyai kos utiliti dan infrastruktur yang jauh lebih rendah; subsidi utiliti boleh mencecah sehingga 30 peratus di Taiwan dan 70 peratus di China, manakala sokongan seumpama itu jarang terdapat di pasaran Barat. Pengembangan operasi semikonduktor di luar Asia kekal mencabar dari segi komersial disebabkan oleh intensiti modal yang tinggi dan struktur kos yang kurang berdaya saing. “Menurut Boston Consulting Group (BCG), usaha untuk meniru rantaian bekalan tempatan yang serba lengkap dengan kapasiti penuh dianggarkan memerlukan pelaburan tambahan awal sebanyak US$1 trilion (US$1=RM4.22), yang boleh menaikkan harga cip sebanyak 35 peratus hingga 65 peratus dengan kos akhirnya ditanggung oleh pengguna,” tambah Moody’s Ratings. – Bernama