Kerja naik taraf infrastruktur SUKMA 2026 lancar, dijangka siap Mac depan

SHAH ALAM : Kerja menaik taraf beberapa infrastruktur sukan bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya Mac tahun depan. Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata proses menaik taraf infrastruktur sukan termasuk stadium, dewan pihak berkuasa tempatan serta Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE) itu telah bermula dan dijangka siap mengikut jadual. Beliau berkata walaupun PADE yang menjadi kebanggaan rakyat Selangor kini sedang melalui proses naik taraf menyeluruh, kebajikan penyewa tetap dijaga dengan dikecualikan bayaran selain turut disediakan kemudahan alternatif sepanjang tempoh pembaikan. “Kami percaya temasya dwitahunan ini bukan sekadar medan persaingan, malah pemangkin pembangunan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan, perhotelan, logistik dan perkhidmatan. “Ribuan pengunjung yang hadir akan turut menggerakkan ekonomi tempatan, daripada penjaja kecil hingga industri besar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. Amirudin berkata dengan infrastruktur moden, persiapan rapi serta sokongan rakyat, beliau percaya kontinjen Selangor mampu mengulangi kegemilangan sebagai juara keseluruhan. Beliau berkata semua usaha itu bukan hanya demi kejayaan satu temasya, malah tekad melahirkan generasi atlet masa depan, membina ekonomi negeri dan mengangkat martabat sukan negara. “Bersama kita jadikan SUKMA 2026 sebagai temasya kebanggaan Selangor dan seluruh rakyat Malaysia!” katanya. SUKMA Selangor 2026 diadakan pada 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 Sept, dengan upacara pembukaan temasya dwitahunan itu akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). – Bernama