KUALA LUMPUR : Orang ramai mempunyai tempoh hingga 31 Dis ini untuk membelanjakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali bayar sebanyak 100 ringgit yang diberikan oleh Kerajaan MADANI. Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru menggunakan bantuan itu hingga perlu beratur panjang di kaunter bayaran. “Sekiranya bimbang perlu beratur panjang, anda boleh mengunjungi mana-mana kedai runcit terpilih yang berdekatan atau beli-belah secara berkala,“ katanya kepada pemberita selepas sesi turun padang ke kedai runcit yang menyertai program MyKasih di sini hari ini. “Jangan risau kerana anda mempunyai tempoh empat bulan untuk menggunakan kredit ini,“ katanya. Teo menasihati orang ramai agar tidak bimbang mengenai gangguan sistem semasa menggunakan MyKad untuk menebus bantuan tersebut memandangkan sistem MyKasih kini lebih stabil dengan peningkatan kapasiti sebanyak 60 peratus. Beliau berkata Kementerian Kewangan (MOF) mengambil tindakan pantas susulan beberapa aduan gangguan sistem pada hari pertama dan kedua selepas bantuan sekali bayar sebanyak 100 ringgit dikreditkan dalam MyKad mulai 31 Ogos. “Saya rasa kerana terlalu ramai yang cuba menebus bantuan itu serentak, menyebabkan sistem tergendala pada hari pertama dan kedua,“ katanya. “Sekarang rakyat tidak perlu lagi risau untuk membuat pembelian menggunakan SARA,“ katanya. Penerima SARA, Amutha Keevachee, 50, menyatakan rasa lega atas kelancaran proses penebusan bantuan tersebut. “Saya boleh jimat duit dan guna 100 ringgit ini untuk beli barang keperluan rumah, proses pembayaran pun cepat dan mudah, mereka cuma minta kad pengenalan untuk imbas dan terus boleh buat pembayaran,“ kata guru tadika itu. Lee Kah Wee, 42, turut menyatakan rasa puas hati terhadap kelancaran sistem pembayaran SARA pada hari ini. “Ada yang kata kalau guna kad pengenalan lama tak boleh buat pembayaran tapi urusan pembelian saya berjalan lancar walaupun saya guna kad pengenalan lama yang tiada logo Touch ‘n Go,“ katanya. “Saya berpuas hati dengan sistem hari ini,“ katanya. – Bernama