Nelayan warga emas hilang: Operasi SAR diperluas guna helikopter Maritim

TUMPAT – Operasi mencari dan menyelamat nelayan warga emas yang hilang selepas keluar memancing di perairan Kelantan di sini sejak Ahad lalu diperluas dengan bantuan aset udara iaitu helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Selasa.Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, kawasan operasi yang kini memasuki hari ketiga meliputi 412.15 batu nautika persegi di perairan negeri ini."Pencarian digerakkan melalui aset laut dan udara milik Maritim Malaysia."Operasi dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta komuniti nelayan tempatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Sebelum ini, bapa enam anak itu, Ahmad Hussin, 72, dipercayai keluar seorang diri menaiki bot persendirian dari Tanjung Kuala pada jam 7.30 pagi Ahad lalu untuk memancing, namun gagal pulang sehingga kini.Erwan Shah berkata, pihaknya juga mendapat bantuan daripada Royal Thai Marine Police yang turut sama mengesan kedudukan mangsa yang dikhuatiri lemas."Maritim Malaysia memandang serius kejadian ini dan usaha pencarian akan terus dipergiatkan dengan memperluaskan kawasan operasi dari semasa ke semasa," katanya.Orang ramai khususnya nelayan yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau menemui sebarang petunjuk diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam atau pusat operasi Maritim Malaysia terdekat.