KUALA LUMPUR - Dua ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang tunai berjumlah lebih RM75,000 milik Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebuah kondominium, tiga tahun lepas.Nurliyana Amirah Zulkifli, 34, dan Nuradila Razali, 38, masing-masing didakwa atas kapasiti mereka ketika itu sebagai pentadbir dan pembantu pentadbir yang diamanahkan untuk menguruskan harta serta kewangan syarikat melakukan pecah amanah dengan mengambil dan menggunakan wang tunai kutipan daripada penduduk berjumlah RM75,776.20.Wang tunai itu merupakan duit kutipan daripada penduduk yang diserahkan bagi tujuan penyelenggaraan, deposit keluar dan masuk rumah dan bil-bil yang sepatutnya diserahkan kepada pihak JMB kondominium terbabit.Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 17 Januari dan 17 Ogos 2022 di JMB berkenaan di Jalan Bemban, Off Jalan Ampang, dekat sini, mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abdul Latip tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun jika mahkamah memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.Peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud dan Nur Adilla Amani Azman yang mewakili Nurliyana dan Nuradila merayu jaminan rendah dengan alasan anak guam mereka ialah ibu tunggal yang menjadi penanggung utama keluarga serta menjaga anak-anak berusia antara setahun hingga 12 tahun.Hakim Azrul Darus membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri sebulan sekali hingga kes selesai selain menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - Bernama