Pegawai polis wanita ditahan SPRM kes minta suapan RM8,000

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan dua individu termasuk seorang pegawai kanan polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM8,000 sebagai balasan tidak meneruskan siasatan ke atas satu kes pergaduhan.Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan pegawai wanita terbabit direman empat hari bermula Ahad lepas, manakala suspek lelaki direman tujuh hari bermula Sabtu lalu selepas perintah dikeluarkan Majistret Chan Jia Kay.Permohonan reman dibuat SPRM masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Mahkamah Majistret Putrajaya.Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an telah ditangkap berasingan pada 29 dan 31 Ogos lalu sekitar Kuala Lumpur antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam."Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat di mana suspek lelaki menjadi orang tengah meminta wang rasuah bernilai kira-kira RM8,000."Suspek lelaki tersebut dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan kemudiannya memberikan wang tersebut kepada suspek wanita juga secara tunai," katanya.Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Sekyen 17 (a) Akta SPRM 2009 bagi suspek wanita manakala suspek lelaki disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.