KUALA LUMPUR - Kegiatan perjudian haram di seluruh negara digempur menerusi Op Dadu Mega yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 30 dan 31 Ogos lalu.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, sebanyak 395 premis diperiksa sepanjang operasi tersebut.Beliau berkata, hasilnya 272 premis dikesan menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen."Daripada jumlah itu, 245 premis terbabit dalam penjualan loteri awam tanpa lesen dan 20 premis didapati menawarkan perjudian dalam talian."Selain itu, serbuan turut melibatkan lima premis hiburan keluarga yang beroperasi tanpa lesen manakala dua premis lagi berfungsi sebagai pusat perjudian calling centre," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.Katanya, seramai 328 individu berjaya ditahan membabitkan 286 lelaki dan 42 wanita yang dipercayai pemilik, penjaga premis, pekerja serta pemain perjudian."Individu yang ditahan terdiri daripada 258 warga tempatan manakala 70 lagi warga asing."Selain itu, pihak polis turut merampas wang tunai, komputer, telefon bimbit, mesin perjudian dan pelbagai peralatan lain yang digunakan dalam kegiatan itu," katanya.Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut."Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang antaranya Seksyen 4A(a), Seksyen 9(1), Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953."Siasatan turut meliputi Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Hiburan dan Ordinan Hiburan Negeri," katanya.M.Kumar menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dalam isu perjudian haram yang memberi kesan buruk kepada masyarakat dan ekonomi negara."PDRM akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan perjudian tanpa lesen dapat dibanteras sepenuhnya."Kami menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti perjudian haram bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan segera," katanya.