Kapasiti MyKasih dipertingkat, elak transaksi tergendala

PUTRAJAYA – Kapasiti pelayan (server) sistem MyKasih yang mengendalikan transaksi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dipertingkatkan bagi memastikan kelancaran urusan rakyat untuk berbelanja sempena cuti hujung minggu panjang yang akan tiba.Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), Datuk Johan Mahmood Merican berkata, persediaan itu dibuat selepas sistem berdepan lonjakan luar jangkaan pada 31 Ogos lalu iaitu pada hari pertama pelaksanaan SARA untuk semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas."Untuk persediaan jangka panjang, kapasiti pelayan telah ditingkatkan empat kali ganda iaitu daripada 5,000 kepada 15,000 transaksi seminit."Langkah ini diambil khusus bagi menghadapi cuti panjang, termasuk sambutan Hari Malaysia yang dijangka turut menyaksikan lonjakan pengguna," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.Menurut beliau, permintaan pengguna meningkat secara mendadak melebihi 5,000 transaksi seminit, sedangkan kapasiti pelayan sedia ada sebelum ini hanya mampu menampung sekitar 2,200 transaksi."Masalah utama bukan pada terminal atau pasar raya, sebaliknya pada pelayan yang tidak dapat menampung jumlah pengguna serentak."Walaupun begitu, sistem masih berfungsi dan berjaya memproses hampir 900,000 transaksi bernilai RM52 juta pada hari pertama," katanya.Johan menjelaskan bahawa kesesakan tersebut berlaku kerana pelaksanaan SARA bertembung dengan cuti umum Hari Kebangsaan dan hujung minggu panjang.Pada masa sama, kemasukan kredit bulanan untuk golongan B40 pada 1 September turut menambah jumlah penerima yang berbelanja secara serentak.Beliau berkata, selepas sesi pembaikan segera dijalankan pada malam 31 Ogos, kapasiti pelayan berjaya ditingkatkan sekitar 20 peratus keesokan harinya dan seramai 950,000 penerima membelanjakan RM66 juta pada 1 September."Ini membuktikan bahawa walaupun sistem menerima tekanan permintaan yang sangat tinggi, ia tetap berfungsi. Isu yang timbul hanyalah kelembapan ketika waktu puncak," jelas beliau.Menurut Johan, pasukan teknikal terus melaksanakan penambahbaikan harian, termasuk pemasangan ‘patch’ baharu serta ujian tekanan (stress test) bagi memastikan sistem mampu beroperasi dengan stabil semasa jumlah pengguna yang tinggi.Beliau menegaskan bahawa sistem MyKasih tidak pernah ‘crash’ atau terhenti sepenuhnya, sebaliknya hanya mengalami kelembapan semasa trafik puncak.Johan turut mengingatkan penerima bahawa kredit RM100 tersebut boleh digunakan sehingga 31 Disember ini."Tidak perlu tergesa-gesa kerana tempoh penebusan masih panjang. Dengan penambahbaikan ini, rakyat boleh menikmati pengalaman berbelanja yang lebih lancar tanpa perlu bimbang tentang gangguan sistem," ujarnya.Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada rangkaian pasar raya dan kedai yang bekerjasama dalam memastikan bantuan ini dapat disalurkan dengan baik kepada rakyat."Kami akan terus memantau keadaan, mengambil langkah pembetulan jika perlu dan memastikan sistem benar-benar bersedia menghadapi cuti panjang yang bakal tiba," katanya.