KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan di Mahkamah Sesyen pada Selasa bahawa beliau tidak pernah menerima rasuah daripada dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad berkaitan pelaburan Felcra Berhad bernilai RM150 juta, kira-kira 10 tahun lalu.Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata demikian ketika prosiding bela diri hari pertama atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta di hadapan Hakim Rosli Ahmad.Ketika disoal peguamnya, Ridha Abdah Subri, Bung Moktar menyatakan bahawa tiada rakaman video, gambar atau perbualan direkodkan berhubung dakwaan penerimaan wang daripada dua saksi pendakwaan.Ahli politik yang akan menyambut hari kelahiran pada 15 September ini turut menegaskan bahawa tiada bukti menunjukkan pembayaran dibuat kepadanya oleh dua ejen pelaburan, iaitu saksi pendakwaan ke-24 (SP24), Madhi Abdul Hamid dan SP25, Norhaili Ahmad Mokhtar."Saya tidak menerima wang itu secara langsung atau tidak langsung, malah tiada bukti menunjukkan aliran wang kepada saya."Tidak ada bukti," katanya ketika menjawab soalan sama ada pendakwaan telah mengemukakan sebarang dokumen, e-mel atau mesej yang membuktikan beliau bersetuju untuk menerima suapan.Peguam: Adakah Datuk Seri mengetahui secara pasti bahawa Datin Seri Zizie Izette A Samad telah menerima wang sebanyak RM2.8 juta daripada Norhaili dan Madhi pada Jun 2015?Bung Moktar: Saya tidak tahu.Peguam: Adakah Datuk Seri telah mengarahkan atau meminta Zizie Izette menerima wang tersebut bagi pihak Datuk Seri?Bung Moktar: Tidak pernah, kerana saya langsung tidak tahu mengenai perkara itu.Mengulas lanjut, Pengerusi BN Sabah itu berkata, tiada mana-mana pihak memaklumkan kepadanya mengenai isu tersebut sehinggalah beliau dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar tahun 2016 atau 2017.Peguam: Adakah Datuk Seri mengetahui mengenai status wang simpanan dan pelaburan Zizie Izette sebelum dilantik menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad?Bung Moktar: Saya tidak tahu. Memang menjadi persefahaman antara saya dan isteri-isteri, sejak berkahwin sehingga kini, bahawa duit mereka adalah duit mereka dan saya tidak masuk campur.Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra telah didakwa atas dua pertuduhan secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, melalui isterinya, Zizie Izette dan akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.Dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank, Cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015 dan pada jam 12.16 tengah hari, 19 Jun tahun sama.Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette, pada tarikh dan lokasi sama, kira-kira jam 12.28 tengah hari pada 19 Jun 2015.Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.Sementara itu, Zizie Izette turut berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di lokasi, tarikh dan masa yang serupa.Prosiding bersambung Rabu.