BEIJING : Syarikat peruncit e-dagang dan logistik terkemuka China, JD.com menyatakan hasrat untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia terutamanya dalam sektor logistik. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik hasrat ini dengan mengambil kira kedudukan strategik Malaysia yang berpotensi muncul sebagai hab logistik serantau. Beliau menegaskan perkembangan ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan. JD.com juga berhasrat membeli lebih banyak produk Malaysia untuk dipasarkan di China. Perdana Menteri yang sedang dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke China mengadakan pertemuan perniagaan dengan pihak pengurusan tertinggi syarikat berkenaan. Pertemuan tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif JD Logistics merangkap Ahli Eksekutif Strategi, Hu Wei. JD.com yang tersenarai di NASDAQ 100 dan syarikat Fortune Global 500 adalah peruncit e-dagang terbesar di China. Syarikat ini menyediakan perkhidmatan kepada lebih 580 juta orang yang membeli-belah di serata negara China. JD.com mengendalikan infrastruktur penunaian pesanan terbesar di China yang membolehkan 90% pesanan dihantar pada hari sama atau berikutnya. Selesai pertemuan dengan JD.com, Anwar mengadakan perbincangan dengan barisan pimpinan Persatuan Industri Semikonduktor China (CSIA). Beliau menegaskan iltizam Malaysia untuk menjadi pemain utama semikonduktor global seperti yang digariskan dalam Strategi Semikonduktor Nasional. CSIA merupakan badan induk yang menaungi lebih 1,400 syarikat semikonduktor China. Kerajaan MADANI akan terus menarik pelaburan berkualiti dan meneroka peluang baharu dalam sektor strategik. Turut hadir pada mesyuarat perniagaan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga hadir dalam pertemuan tersebut. – Bernama