PUTRAJAYA : Kerajaan menyasarkan menerima 43 juta pelawat asing pada tahun ini dan 47 juta lagi pada tahun depan seiring aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) untuk menarik lebih ramai pelawat tinggal lebih lama dan berbelanja lebih tinggi. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk TMM2026 berkata bagi tujuan itu, tiga strategi utama digariskan untuk menjayakan TMM2026. Beliau berkata strategi itu adalah mencipta permintaan melalui penjenamaan dan kempen pemasaran yang lebih agresif serta meningkatkan trafik dengan kerjasama taktikal bersama syarikat penerbangan, agensi pelancongan dan pintu masuk darat atau laut serantau. Strategi utama lain yang digariskan adalah memfokuskan pasaran sasaran dan segmen berimpak tinggi, termasuk ekopelancongan, pelancongan beli-belah, serta tarikan khusus mengikut pasaran. “Kempen TMM2026 ini merupakan agenda nasional dengan objektif meningkatkan pendapatan pelancongan, memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa dan memastikan sektor pelancongan terus menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.” “Pada 2024, Malaysia telah menerima 38 juta pelawat asing, meningkat 31.1% berbanding tahun sebelumnya.” “Pelancongan domestik pula mencatat 260.1 juta pengunjung, peningkatan 21.7% berbanding 2023, membuktikan pemulihan sektor ini sepenuhnya.” Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Induk TMM2026 itu turut menekankan kepentingan strategi promosi pelancongan bermusim, khususnya untuk menarik pelawat dari rantau Timur Tengah yang mempunyai musim ekstrem. “Antara inisiatif yang dicadangkan ialah memperhebatkan ‘Malaysia Midnight Sale’ bagi memposisikan Malaysia sebagai destinasi beli-belah unggul.” Ahmad Zahid berkata kerjasama erat semua pihak amat diperlukan bagi memastikan kejayaan TMM 2026. “Saya mahu setiap kementerian dan agensi bersatu hati, bergerak seiring, dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong.” “Dengan komitmen padu, Malaysia akan terus unggul sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia yang kaya budaya, selamat untuk dikunjungi dan mampu menjana kemakmuran bersama.” Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 disokong oleh enam jawatankuasa kerja kecil yang diterajui pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Komunikasi; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Pengangkutan; serta Tourism Malaysia. “Saya yakin perhatian yang serius dapat diberikan di samping mengukuhkan keterlibatan Malaysia di pasaran sedia ada dan mewujudkan pasaran baharu.” – Bernama