JERTIH : Kerajaan Terengganu bersetuju menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas di Pulau Perhentian di sini dan Pulau Lang Tengah di Setiu sebagai usaha meningkatkan keselamatan pelancong di kedua-dua pulau peranginan berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata pasukan itu ditubuhkan susulan beberapa kejadian yang melibatkan keselamatan pelancong terutama di Pulau Perhentian yang berlaku baru-baru ini. “Pasukan ini akan beroperasi setiap tahun bermula Mac hingga Oktober iaitu musim puncak kehadiran pelancong.” “Ia akan melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat sedia ada antaranya polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Daerah Besut, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan wakil pengusaha pelancongan serta komuniti setempat.” Beliau berkata penubuhan pasukan ini juga dapat meningkatkan keyakinan pelancong dan memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin sepanjang berada di pulau-pulau peranginan di Terengganu. – Bernama