TUMPAT - Seorang warga emas melecur di bahagian bahu dan muka selepas disambar api ketika cuba menyelamatkan kucing kesayangannya yang cacat kaki kanan belakang dalam kejadian di Kampung Periok Hilir di sini pada petang Isnin.Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, kucing yang digelar ‘Dong’ milik Siti Khadijah Mamat, 70, bagaimanapun ditemukan rentung.Anaknya, Sonita Mat Ariffin, 40, berkata, selain kehilangan kucing yang dibela sejak 10 tahun lalu, mereka sekeluarga turut tinggal sehelai sepinggang apabila rumah berusia hampir 50 tahun itu musnah dalam kebakaran berkenaan.Menurutnya, bukan itu sahaja, segala dokumen penting, rekod kesihatan serta kelengkapan anak sulungnya, Mohamad Izzat Izuddin, 18, yang dijadual melaporkan diri sebagai anggota tentera di sebuah kem di Port Dickson, Negeri Sembilan turut musnah dalam kejadian itu."Semasa kejadian, hanya ibu dan anak bongsu saya, Mohamad Izzul Irfan, 14, berada di rumah."Saya, suami (Mohd Noor Azli, 40) dan anak sulung berada di Kota Bharu. Sebaik sahaja tiba di Mydin Tunjong, saya menerima panggilan telefon daripada jiran yang memaklumkan kejadian ini. Tanpa berlengah kami terus bertolak pulang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Menurut suri rumah itu, ibunya sempat ditarik oleh orang ramai ketika cuba meredah api untuk menyelamatkan kucing kesayangannya.Ujarnya, selain ibunya, anaknya Mohamad Izzul Irfan turut melecur di kedua-dua tapak tangan dan kaki.Sonita memberitahu, kedua-duanya telah dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan."Saya dimaklumkan sebelum kejadian, ibu terhidu bau hangit dan cuba memeriksa kawasan halaman rumah."Anak pula ternampak asap keluar dari bumbung rumah. Belum sempat berbuat apa-apa, api merebak terlalu cepat. Kebetulan Dong (kucing) berada di dapur," katanya.Tambahnya, api yang marak dengan pantas turut menyambar rumah milik bapa saudaranya, Mohd Isa Mamat, 61, yang terletak berhampiran.Sementara itu, Mohd Isa yang merupakan peniaga santan berkata, semasa kejadian, beliau bersama isteri, dua anak dan dua cucu berada di rumah."Ketika itu saya berada di kedai santan di hadapan rumah. Tiba-tiba saya nampak api sedang marak dari rumah kakak (Siti Khadijah)."Saya lihat api mulai merebak ke rumah kerana jaraknya terlalu dekat. Saya terus memanggil isteri serta anak dan cucu supaya keluar."Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang. Rumah yang berusia hampir 40 tahun itu musnah sekelip mata termasuk kedai santan," katanya.Keluarga Sonita kini menumpang di rumah jiran, manakala Mohd Isa dan keluarganya tinggal bersama saudara mara buat sementara waktu.Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam 03102020013286 (Sonita Mat Ariffin) atau melalui anak Mohd Isa, Nurul Syafika Mohd Isa (Maybank 153039271314).