KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia menghantar pasukan pengaman ke Gaza sekiranya diperlukan bagi menjamin keamanan selepas perjanjian pelan damai ditandatangani di Mesir pada Isnin.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghantaran pasukan berkenaan akan dibincangkan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seterusnya diputuskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)."Sebaik Majlis Keselamatan PBB bersetuju, Malaysia bersedia jika diminta dan diperlukan. Selama ini kita tidak pernah menolak, ada saja pasukan pendamai kita akan kirim."Saya setuju pasukan pendamai ini sekurang-kurangnya yang terbaik untuk menjamin keamanan bagi Gaza," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai sama ada Malaysia akan menghantar pasukan pengaman ke Gaza, berikutan kebimbangan Israel akan melanggar perjanjian pelan damai Gaza dan menyerang kembali wilayah itu.Anwar turut menjelaskan beliau juga tidak meletakkan sepenuh keyakinan perjanjian pelan damai Gaza itu akan dipatuhi Israel susulan rekod negara berkenaan yang sering melanggar perjanjian gencatan senjata."Jadi, sebab itu di Sharm el-Sheikh (lokasi Sidang Kemuncak Keamanan Antarabangsa), walaupun kita sokong bersyarat, rakan kita dari negara Islam itu memberi jaminan mereka mahu perjanjian damai ini dilaksanakan dan mereka juga bertanggungjawab memastikan Israel mematuhi, walaupun dimasukkan di situ, termasuk Hamas."Bagaimanapun, apa yang disentuh Kubang Kerian itu tepat, apakah kita yakin Israel akan tunaikan, sejarah menunjukkan sebaliknya."Sikap Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel) dan Menteri Pertahanan, Menteri Kewangannya menyatakan sebaliknya, maka kita akan terus memantau dan saya percaya dunia juga akan melihat," ujar beliau.