PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan tumpuan utamanya kekal untuk membangunkan bola sepak Malaysia biarpun pelbagai isu luar cuba mengganggu rentak skuad kebangsaan.Menurut jurulatih kelahiran Australia itu, tahun 2025 menjadi antara musim yang positif buat Harimau Malaya, namun beliau enggan terlalu selesa kerana sasaran utamanya masih jauh."Tahun 2025 ini merupakan musim yang baik untuk kami. Tapi kami tidak akan leka. Fokus utama kami hanya pada bola sepak dan bukan pada kekecohan atau isu luar yang cuba menjejaskan pasukan," katanya.Cklamovski turut menegaskan, beliau focus terhadap tugasnya dan mengakui mungkin ada yang tidak suka dengan caranya mengendalikan pasukan kebangsaan."Pesanan saya kepada orang ramai dan para penyokong, ini adalah pasukan kebangsaan pasukan bola sepak Malaysia yang kami banggakan. Saya bukan berada di sini untuk diri saya sendiri, tetapi untuk negara."Kalau ada yang tidak menyukai saya, itu tidak mengapa. Saya tetap akan terus menjalankan tugas seperti biasa. Sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, apa sahaja halangan yang mengganggu kemajuan pasukan, saya akan singkirkan demi memastikan kemajuan bola sepak negara."Saya sudah buktikan perkara itu sebelum ini, dan semua tindakan saya berpaksikan kepada apa yang terbaik untuk pasukan kebangsaan serta pembangunan bola sepak Malaysia. Sesetengah orang mungkin tidak menyukai cara saya, tetapi saya menghormati pandangan mereka."Saya bukan di sini untuk mencari kawan, saya di sini untuk melakukan tugas saya iaitu untuk membina bola sepak Malaysia. Hakikatnya, ini bukan tentang saya. Saya tidak mahu ia berkisar tentang diri saya. Niat saya hanyalah satu iaitu membangunkan bola sepak Malaysia, langkah demi langkah," katanya.Beliau juga mahu masyarakat menumpukan sokongan kepada pemain-pemain skuad kebangsaan yang sentiasa bekerja keras di padang dan ketika sesi latihan."Kami sedang membina sesuatu sebagai sebuah pasukan kebangsaan, dan perjalanan kami masih jauh. Jadi, mesej saya kepada rakyat Malaysia sokonglah para pemain. Hargai kerja keras mereka di padang dan semasa latihan."Sokong disiplin, fokus, dan pendekatan profesional mereka. Percayalah kepada pemain-pemain ini, kerana mereka sedang berusaha melakukan sesuatu yang istimewa untuk negara. Itulah perkara yang berada dalam kawalan kami," ujarnya.