PIBG gesa gerakan besar-besaran tangani buli, kesihatan mental di sekolah

IPOH - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyeru agar gerakan besar-besaran dilaksanakan bagi menangani isu buli, gangguan emosi serta kesihatan mental di sekolah yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati Ipoh, Mohamad Halim Arafullah berkata, peningkatan kes buli, penderaan emosi dan masalah mental dalam kalangan pelajar hingga ada yang membawa kepada kejadian bunuh serta rogol perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.Menurutnya, sudah tiba masanya pihak sekolah, PIBG dan agensi kerajaan berganding bahu melaksanakan kempen berskala besar secara bersepadu bagi memulihkan suasana persekitaran sekolah agar kembali selamat dan kondusif untuk pelajar."Sekolah sepatutnya menjadi tempat membina masa depan anak-anak, bukannya lokasi yang menakutkan. Kita tidak boleh lagi menunggu tragedi baharu berlaku sebelum bertindak."Sudah tiba masanya untuk kita bergerak bersama di antara ibu bapa, guru, masyarakat dan pihak berkuasa demi menyelamatkan generasi masa depan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.Mohamad Halim mencadangkan beberapa langkah utama antaranya penganjuran kempen anti-buli dan kesihatan mental secara menyeluruh melibatkan pelajar, guru dan ibu bapa melalui ceramah kesedaran, bengkel interaktif serta program intervensi awal.Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada isu buli fizikal, siber dan seksual bawah umur yang semakin meruncing, selain aspek kesihatan mental remaja.Selain itu, beliau menekankan keperluan mengaktifkan semula peranan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah bagi membantu mengesan tanda-tanda tekanan emosi dan kemurungan dalam kalangan pelajar."PRS boleh menjadi rakan sokongan awal sebelum pelajar dirujuk kepada guru kaunseling atau pakar psikologi."Mereka juga perlu diberikan latihan supaya lebih bersedia menghadapi pelajar yang berdepan tekanan," katanya yang juga Yang Dipertua PIBG SK Tasik Damai Ipoh.Mohamad Halim turut menggesa PIBG memainkan peranan lebih proaktif dengan menganjurkan ceramah keibubapaan secara bersemuka atau dalam talian supaya ibu bapa memahami tanda-tanda awal tekanan mental anak-anak dan cara menanganinya dengan empati."Penglibatan tokoh masyarakat, ustaz, pegawai kesihatan dan pakar psikologi dalam program seperti ini dapat memperkukuh kefahaman dan tindakan komuniti terhadap isu berkenaan."Ia juga membantu ibu bapa mengenali perubahan tingkah laku anak lebih awal," jelasnya lagi.Beliau turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik seperti tandas, koridor belakang, tangga dan parkir sekolah bagi mencegah kejadian buli serta membantu mengenal pasti pelaku jika insiden berlaku.Menurutnya, hanya melalui gerakan menyeluruh yang disertai ibu bapa, guru, masyarakat dan agensi kerajaan, budaya buli serta masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar dapat ditangani secara tuntas dan berkesan.