JPJ perkasa pemantauan, rondaan sempena Deepavali

KUALA LANGAT - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkasa pemantauan serta rondaan berterusan dalam usaha mengatasi kesesakan serta kemalangan pada cuti perayaan Deepavali.Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, setiap JPJ negeri telah diarahkan untuk mempertingkat rondaan secara berterusan."Saya telah berbincang dengan Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ (Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan) bahawa kita akan melaksanakan operasi pemantauan dan rondaan."Kita (JPJ) akan bekerjasama dengan konsesi lebuh raya dan akan bantu daripada segi melancarkan perjalanan pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita selepas Op Khas kenderaan perdagangan lebih muatan di Stesen Penguat kuasa Banting di sini pada Selasa.Beliau berkata, pengguna jalan raya diingatkan supaya berhati-hati ketika memandu.Jelasnya, ini disebabkan berlaku pertambahan pergerakan kenderaan yang amat tinggi pada tempoh perayaan terbabit.Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan kira-kira 2.1 juta kenderaan akan berada di jalan raya seluruh negara bermula 18 Oktober ini, sempena cuti perayaan Deepavali.Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh itu, Op Lancar sempena cuti perayaan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Oktober.Selain itu, Kementerian Pendidikan memperuntukkan cuti tambahan sekolah antara satu hingga dua hari, menjadikan tempoh cuti panjang antara lima hari bagi murid di Semenanjung dan empat hari bagi murid di Sarawak, bermula 17 hingga 22 Oktober.