Jiran dengar jeritan sebelum dua beradik ditemukan maut

ALOR GAJAH - Penduduk Taman Cempaka 2, Durian Tunggal di sini gempar apabila dua lelaki warga Bangladesh dipercayai adik-beradik ditemui maut di rumah sewa mereka pada malam Selasa.Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, beberapa penduduk mendakwa terdengar pertengkaran dan jeritan dari kediaman berkenaan sebelum seorang rakan serumah kedua-dua mangsa pulang dan menemui mereka dalam keadaan tidak bernyawa.Seorang jiran, Muhammad Zuhaili Mohd Zin, 31, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah, namun isterinya memaklumkan terdengar jeritan kuat dari arah kediaman jiran bersebelahan.Menurutnya, apabila dia pulang ke rumah dia nampak seorang lelaki yang merupakan rakan serumah mangsa sedang meraung di luar rumah."Saya terus masuk ke dalam rumah itu dan melihat keadaan dapur yang berselerak serta seorang lelaki dalam keadaan tersembam di atas lantai dengan kesan darah."Seorang lagi dipercayai mengantungkan diri dalam bilik namun ketika itu pintu bilik tutup sebelum polis tiba," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.Zuhaili berkata, dua beradik berkenaan telah menyewa rumah itu sejak lebih enam bulan lalu dan dipercayai bekerja di tapak pembinaan berhampiran taman perumahan tersebut.Katanya, dia tidak begitu rapat dengan mereka, namun mangsa sering memberi salam dan bertegur sapa setiap kali bertemu.Ujarnya, dia dimaklumkan si adik telah berkahwin dengan wanita warga Indonesia dan mempunyai seorang bayi, namun isterinya dikatakan melarikan diri bersama anak mereka sejak dua minggu lalu."Sebelum ini kami jiran-jiran ada dengar pergaduhan antara si adik dengan isterinya."Kami sering mendengar isterinya sering memarahi si adik dipercayai kerana pertikaikan yang dia mahu bekerja, mungkin tekanan itu punca berlaku kematian tragis itu berlaku," ujarnya.Tambahnya, si adik dikenali sebagai seorang yang baik dan pendiam, namun tidak menyangka konflik keluarga itu berakhir dengan tragedi."Tak sangka sampai jadi macam ni, bergaduh dengan abang sendiri sebab adik dia tak pernah menjawab bila dimarahi si isteri," katanya.Sementara itu, mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar kira-kira jam 10.45 malam selepas pasukan forensik dan polis selesai menjalankan siasatan di lokasi.Setakat ini, polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung punca sebenar kejadian tersebut.