BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie membuka tirai kempen Terbuka Denmark Super 750 dengan langkah meyakinkan selepas menundukkan gandingan Taiwan, Lu Ming Che–Tzu Hung En pada Selasa.Pasangan pilihan kelapan itu tidak berdepan banyak tentangan sebelum mencatat kemenangan straight set 21–14, 21–17 dalam masa hanya 28 minit di Jyske Bank Arena, sekali gus menempah slot ke pusingan kedua kejohanan berprestij tersebut.Bagi Soon Huat, kemenangan itu hadir hasil kemampuan mereka mengawal rentak dan mengekalkan kesabaran dalam setiap pukulan."Saya rasa kami berjaya mengawal rentak permainan dengan baik, terutama dalam gelanggang yang agak pantas. Paling penting, kami beraksi dengan lebih sabar, dan itu kunci utama kemenangan hari ini," ujar Soon Huat dipetik Persekutuan Badminton Dunia (BWF).Mengulas lanjut, Shevon pula menyifatkan aspek kesabaran bukan sesuatu yang datang sekelip mata, sebaliknya hasil pembentukan sikap sejak awal gandingan mereka."Kesabaran bukan perkara yang boleh dipelajari dalam sehari dua. Ia proses berterusan sejak kami mula bergandingan."Dalam setiap perlawanan, akan ada detik yang menguji mental dan emosi kami bukan hanya di gelanggang, tapi juga ketika latihan dan persiapan. Hari ini, kami berjaya mengawal diri dengan baik," kata Shevon.Ditanya mengenai matlamat kejohanan kali ini, Soon Huat menjelaskan mereka tetap menyasarkan keputusan terbaik walaupun sedar saingan semakin sengit."Saya sentiasa menyasarkan kejuaraan, tapi masih belum kesampaian. Apa pun, kami akan terus mencuba," katanya.Sementara itu, Shevon yang pernah mara hingga ke separuh akhir edisi terdahulu berharap momentum positif kali ini mampu membawa mereka lebih jauh."Kami memang berharap dapat pergi lebih jauh kali ini. Prestasi kami kebelakangan ini agak turun naik, jadi fokus utama sekarang adalah kembali pada prestasi sebenar dan ambil satu perlawanan pada satu masa," katanya.Mengulas keadaan gelanggang, Shevon menyifatkan suasana di Jyske Bank Arena amat kondusif untuk permainan mereka."Keadaan gelanggang sangat baik. Tiada banyak angin dan bulu tangkis juga stabil, jadi semuanya dalam keadaan memuaskan untuk kami," jelasnya.Gandingan negara itu bakal berdepan pemenang antara Jesper Toft–Amalie Magelund (Denmark) dan Yuichi Shimogami–Sayaka Hobara (Jepun) bagi perebutan tempat ke suku akhir.