SUNGAI SIPUT – Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian membuka peluang baharu serta menjamin masa depan anak muda di negeri Perak.Bagi usahawan ternak muda, Mohd Afiq Shaharim, 39, negara kini berdepan cabaran keterjaminan makanan dan kekurangan tenaga mahir dalam sektor pertanian.Menurutnya, langkah kerajaan negeri Perak memperluas penglibatan anak muda dalam bidang TVET amat bertepatan dengan keperluan semasa negara."Langkah kerajaan negeri menggalakkan anak muda menyertai TVET memberikan pelbagai manfaat kepada mereka. Kita jauh ketinggalan dengan negara-negara di Asia dalam teknologi pertanian antaranya Thailand."Di Thailand, mereka boleh manfaatkan sepenuhnya tinja haiwan. Di Malaysia, ramai belum tahu bagaimana menggunakan hasil sampingan pertanian secara maksimum," katanya kepada Sinar Harian.Beliau ditemui selepas menerima Anugerah Penternak Waja Ruminan sempena Perak Agrofest 2025 yang diadakan di Ladang Infoternak di sini baru-baru ini.Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada Mohd Afiq dan penerima lain.Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dengan diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.Mohd Afiq yang mengusahakan ternakan di Ladang Abd Raof Sdn Bhd di Padang Gajah, Trong, Taiping berkata, penglibatannya dalam bidang ternakan bermula sebagai warisan keluarga sebelum mengambil alih sepenuhnya daripada bapa dan pakciknya pada tahun 2010.Beliau kini menternak 385 ekor lembu di ladang seluas 20 hektar, selain mengusahakan tanaman kelapa sawit, dusun buah-buahan dan getah.Menurut Mohd Afiq, antara langkah yang diamalkan bagi menampung kos ialah memanfaatkan sepenuhnya sumber makanan dan baja secara dalaman.Mohd Afiq berkata, penternakan di ladangnya sentiasa dipantau oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak cawangan Taiping termasuk dari segi vaksinasi dan program kesihatan haiwan.Usaha yang dilakukan Mohd Afiq dalam bidang penternakan selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Flagship Sekuriti Makanan mahu menjadikan negeri ini sebagai Lembah Bakul Makanan Negara.Begitu juga dengan tumpuan menerusi bidang kemahiran dalam sektor pertanian yang selari dengan Flagship Koridor TVET Malaysia di bawah pelan pembangunan berkenaan.