Kamera badan tingkat keupayaan JPJ depani operasi risiko tinggi

KUALA LANGAT - Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dilengkapi alat perakam badan (BWC) akan ditugaskan khususnya dalam operasi berisiko tinggi.Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengenalan teknologi kamera badan itu merupakan langkah besar dalam memodenkan penguatkuasaan, selain memastikan keselamatan pegawai serta menjadi bahan bukti sekiranya berlaku pertikaian ketika operasi lapangan."Ini menandakan permulaan kepada operasi JPJ menggunakan kamera badan."Teknologi ini membolehkan pegawai kami menjalankan tugas dengan lebih selamat sambil merakam bukti sekiranya berlaku sebarang perselisihan," katanya selepas melancarkan Op Khas ke atas kenderaan perdagangan di Stesen Penguatkuasaan Banting di sini pada Selasa.Beliau berkata, pelaksanaan awal melibatkan 100 unit kamera yang akan diagihkan secara berperingkat bermula Ibu Pejabat JPJ dan JPJ negeri.Tambahnya, menjelang tahun depan dijangkakan lebih banyak unit kamera badan akan diterima semua pegawai penguat kuasa."Penggunaan kamera badan ini akan diwajibkan ke atas semua pegawai penguat kuasa yang menjalankan rondaan dan pemeriksaan di jalan raya selain semasa penguatkuasaan ketika berdepan pemandu yang tidak memberi kerjasama," katanya.Sebelum itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebanyak 100 unit kamera badan akan digunakan pada peringkat awal, melibatkan pegawai penguat kuasa di ibu pejabat dan JPJ negeri dengan peruntukan RM2.3 juta.Inisiatif ini merupakan langkah strategik Kementerian Pengangkutan dan JPJ dalam memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta meningkatkan integriti dan ketelusan perkhidmatan awam.Kata Anthony, semua rakaman BWC akan diaktifkan sebaik sahaja anggota melapor tugas dan tidak boleh dimatikan sehingga tugasan selesai.Dalam isu berlainan, Aedy turut mengesahkan kerajaan telah meluluskan perolehan 60 pucuk pistol baharu tahun ini bagi meningkatkan kesiapsiagaan pegawainya semasa melaksanakan tugas."Selain kamera badan, kerajaan turut bersetuju menyediakan senjata api baharu memandangkan tugas pegawai JPJ di lapangan berdepan tahap risiko yang tinggi."Ketika ini kami telah memiliki lebih 400 senjata api di seluruh negara dan penambahan baharu ini akan meningkatkan keselamatan operasi," ujarnya.Aedy menegaskan, pelaksanaan kamera badan dan penambahan senjata api itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh profesionalisme serta keselamatan penguatkuasaan JPJ yang kini giat memantau kenderaan perdagangan berat di seluruh negara sehingga akhir tahun ini.