PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai supaya bertindak dengan penuh tanggungjawab serta tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan termasuk gambar atau video yang memaparkan mangsa, pelajar lain atau lokasi kejadian berkaitan insiden tikaman pelajar di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.MCMC dalam kenyataan pada Rabu menasihatkan orang ramai yang telah memuat naik kandungan sedemikian agar segera memadamkannya bagi menghormati privasi serta maruah keluarga terlibat, selain bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang dijalankan.Suruhanjaya itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam kejadian tragis berkenaan.MCMC mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, seorang pelajar perempuan tingkatan empat meninggal dunia selepas disyaki ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah.Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suspek berusia 14 tahun, yang juga pelajar di sekolah sama, telah ditahan. - Bernama