IPOH - Bunyi sedikit pun disangka harimau. Begitulah ketakutan yang menghantui penduduk Kampung Ulu Kuang, Chemor sejak dua tahun lalu susulan gangguan berulang daripada kehadiran haiwan buas itu yang masih bebas berkeliaran berhampiran kawasan penempatan mereka.Difahamkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang beberapa perangkap menggunakan umpan kambing, malah ada ternakan dilaporkan mati akibat stres, namun ancaman itu masih belum berakhir.Bagi penduduk di sini, kisah harimau bukan lagi cerita dongeng. Ia kini menjadi igauan ngeri yang mengubah rutin hidup mereka sehingga ada yang trauma untuk keluar rumah selepas senja.Seorang pemilik kebun durian, Abdul Hadi Azruddin, 26, berkata,pengalaman berdepan situasi mencemaskan itu masih segar dalam ingatannya."Dalam jam 6.50 petang, saya nak balik dari kebun, tiba-tiba dengar bunyi badan besar bergesel dengan pagar zink kebun. Lepas itu ada bunyi garau macam harimau. Bila tengok tanah, memang jelas ada kesan tapak baru, satu besar dan satu kecil."Masa itu bulu roma terus naik. Saya kunci pintu kebun dan terus balik. Sejak kejadian itu, saya tak berani lagi berada di kebun lepas jam 6 petang," katanya.Menurut Abdul Hadi, ketakutan itu mengubah cara dia bekerja. Walaupun masih turun ke kebun setiap hari, dia kini hanya berani datang pada waktu siang."Untuk berjaga-jaga, saya bawa anjing dan parang. Kadang-kadang sediakan mercun bola untuk buat bising. Kalau tak, kita sendiri rasa tak selamat," katanya.Bagi pekerja ladang, Mohd Haikal Affendy Mohd Ruslan, 28, pula, pengalaman dua kali berdepan dengan harimau tahun ini membuatkan dia tidak pernah lagi bekerja dengan hati yang tenang."Kali pertama awal Januari lalu, saya nampak anak harimau melintas. Saya pun lari ketakutan. Minggu lepas pula, saya terhidu hamis kuat macam bau haiwan liar. Masa itu saya terus tinggalkan kebun."Memang sekarang ni kalau masuk kebun, hati tak pernah senang. Kami ikut nasihat Perhilitan pulang sebelum jam 6 petang, tetapi kerja kebun bukan boleh tengok jam selalu. Kadang-kadang terlajak juga," katanya.Tambahnya, boleh dikatakan hampir setiap minggu pekerja ladang menemui tapak kaki harimau, menandakan haiwan itu sering berkeliaran di kawasan mereka."Kerja tetap kena teruskan walaupun takut. Jadi kami bakar sampah untuk berasap atau bawa mercun. Kalau tidak, lagi gelisah dibuatnya," ujarnya.Bagi penduduk kampung, Muhamad Nazreen Syah Musthafa, 36, ancaman itu tidak hanya berlaku di kebun, malah turut menghantui mereka di kawasan rumah."Kalau saya kena balik kerja lewat malam, memang fobia. Saya akan duduk dalam kereta dulu, tengok keliling sebelum keluar. Kalau gelap, saya suruh isteri buka lampu luar rumah dulu, baru berani turun."Kadang-kadang rasa macam hidup dalam ketakutan. Saya selalu pesan pada keluarga, jangan duduk lama di luar rumah waktu malam, pastikan pintu dan pagar sentiasa tertutup," katanya.Baginya, rasa bimbang itu sudah menjadi sebahagian daripada hidup. Malam yang dahulu tenang kini dipenuhi rasa waspada kerana bimbang harimau tiba-tiba muncul."Bila fobia dah sampai tahap bunyi lembu pun orang ingat harimau, itu tandanya penduduk memang hidup dalam tekanan," katanya.Penduduk berharap pihak berkuasa memperhebat usaha memburu dan memindahkan haiwan berkenaan agar keselamatan mereka kembali terjamin seperti dahulu.Perangkap tidak berjaya, penduduk minta cari kaedah lainMasalah gangguan harimau di Kampung Ulu Kuang, Chemor bukan perkara baharu kerana penduduk di kawasan itu sudah bertahun-tahun hidup dalam kebimbangan, terutama dalam kalangan penternak dan pekebun yang bergantung kepada hasil sawit, getah, durian serta pisang sebagai sumber rezeki.Ketua Kampung Ulu Kuang, Hamdan Ishak, 58, berkata, tahun lalu seekor harimau seberat kira-kira 150 kilogram pernah ditangkap selepas membaham ternakan, namun insiden itu bukanlah pengakhiran kerana ancaman berulang dan semakin berani menghampiri kawasan penempatan."Baru-baru ini kira-kira jam 4.15 petang, seekor harimau dikesan melintas betul-betul di hadapan rumah saya."Ada pekerja asing ternampak dan selepas diperiksa, kami sahkan terdapat kesan tapak kaki. Pihak Perhilitan juga mengesahkan penemuan jejak itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian.Hamdan berkata, jarak yang terlalu hampir dengan kawasan rumah menambahkan rasa gusar penduduk kerana haiwan berkenaan bukan sahaja muncul di pinggir hutan atau ladang, sebaliknya kini berani menjejakkan kaki ke jalan kampung.Susulan situasi itu, beliau menasihatkan penduduk agar tidak ke kebun seorang diri, sebaliknya bergerak secara berkumpulan sekurang-kurangnya dua atau tiga orang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini."Masalahnya, ada penduduk yang terlalu takut dan trauma sampai langsung tidak berani lagi ke kebun."Ada kebun yang ditinggalkan hampir dua tahun kerana kawasan itu pernah menjadi lokasi harimau ditangkap," jelasnya.Menurutnya, Perhilitan telah memasang beberapa perangkap menggunakan umpan lembu dan kambing, namun haiwan liar itu masih tidak masuk jerat kerana lebih memilih bangkai segar hasil buruannya sendiri."Harimau biasanya akan kembali semula ke bangkai untuk beberapa hari."Kalau kita sempat letak bangkai baru, mungkin mudah dijerat, tetapi kalau sudah busuk, ia takkan datang. Itu cabarannya," katanya.Hamdan berkata, bilangan harimau dipercayai bukan seekor dua, sebaliknya lebih banyak dan sering berpindah kawasan, menjadikan usaha mengekang ancaman itu lebih sukar.Katanya, langkah berjaga-jaga telah diumumkan secara terbuka termasuk melalui masjid setiap Jumaat dan pesanan dalam kumpulan WhatsApp kampung supaya penduduk sentiasa berwaspada apabila ke kebun, terutama di kawasan pinggir hutan.Beliau turut menjelaskan bahawa punca utama gangguan itu dipercayai berpunca daripada kawasan habitat yang semakin diteroka selain tarikan sumber makanan kerana di sekitar kampung terdapat banyak ternakan serta populasi babi hutan yang tinggi.