PM Anwar pertahan pelaburan khazanah RM600 juta baik pulih Carcosa Seri Negara

PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sebanyak RM600 juta bagi pemuliharaan bangunan warisan di Kuala Lumpur termasuk Carcosa Seri Negara yang disifatkan mempamerkan kepentingan sejarah dan identiti nasional. Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bangunan bersejarah itu bukan sekadar peninggalan era silam, sebaliknya simbol warisan Raja-Raja Melayu serta perjalanan negara menuju kemerdekaan. “Isu Carcosa ini dibangkitkan...masalahnya, kadang-kadang pembangkang tidak membaca. Ini (Carcosa) ialah warisan. Saya bangga dengan sejarah saya, saya bangga dengan bangunan Carcosa sebagai warisan Raja-Raja Melayu yang mempunyai peranan tersendiri. “Kuala Lumpur perlu dikenali sebagai sebuah kota moden dari segi teknologi dan segar budayanya. Apabila kita mula melabur di situ, ia akan menarik pelaburan lain untuk berkembang di sekitarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bagi bulan Oktober di sini, hari ini. Dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas, Anwar memaklumkan Khazanah memperuntukkan RM600 juta untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah Carcosa Seri Negara. - Bernama