SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mengemukakan empat cadangan segera bagi memastikan keselamatan pelajar di sekolah berada pada tahap tertinggi susulan insiden tragis yang meragut nyawa seorang pelajar di Selangor pada Selasa.Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah konkrit perlu dilaksanakan termasuklah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bebas bagi menyiasat punca sebenar serta meneliti kelemahan dasar keselamatan sekolah yang wujud selama ini.Menurutnya, Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut diminta memperuntukkan perbelanjaan memperketat sistem pemantauan keselamatan sekolah, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kritikal dan rondaan keselamatan berkala."Tindakan lain termasuklah melaksanakan saringan psikososial dan program intervensi awal bagi pelajar yang menunjukkan tanda-tanda tekanan, agresif atau berisiko melakukan keganasan."Selain itu, mewajibkan latihan keselamatan dan pengurusan krisis untuk semua guru serta warga sekolah supaya mereka mampu bertindak segera apabila berlaku ancaman," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Rabu.Beliau menyifatkan, kehilangan seorang anak di tempat sepatutnya menjadi ruang paling selamat dan mendidik bukan sekadar satu tragedi, tetapi tamparan besar terhadap sistem pendidikan negara yang sepatutnya melindungi masa depan generasi muda.Muhyiddin berkata, anak terbabit pergi terlalu awal di tempat yang sepatutnya menjadi simbol harapan."Kami di PN menyampaikan rasa dukacita dan simpati tidak terhingga kepada keluarga mangsa. Tiada kata mampu menghapuskan kesedihan ini, namun kami berdoa semoga mereka diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini."Seluruh rakyat Malaysia turut berkongsi rasa pilu, marah, dan kecewa atas kegagalan sistem yang sepatutnya menjamin keselamatan anak-anak kita," ujarnya lagi.Tegasnya, kes berlaku itu bukan terpencil sebaliknya tanda jelas bahawa sistem pendidikan dan tadbir urus kerajaan telah gagal berfungsi.Justeru, Muhyiddin berpandangan, Menteri Pendidikan mesti mengambil tanggungjawab penuh dan bukan sekadar menzahirkan rasa simpati memandangkan terlalu banyak kejadian keganasan, buli dan kecederaan berlaku di sekolah tanpa tindakan tegas dan sistematik."Kegagalan demi kegagalan itu juga mencerminkan kegagalan Kerajaan Madani secara keseluruhannya, sebuah kerajaan yang sering melaungkan nilai kasih, hormat dan ihsan, tetapi gagal memastikan keselamatan paling asas untuk kanak-kanak di sekolah," katanya.Muhyiddin turut mengingatkan supaya Menteri Pendidikan dan kepimpinan tertinggi kerajaan mesti turun padang sendiri, bukan sekadar menghantar pegawai, bagi menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan dalam menangani isu berkenaan."Sebetulnya, ia memerlukan "whole of government approach" rentas kementerian dan agensi kerajaan untuk memastikan keselamatan anak-anak ini terjamin," jelasnya.Menurutnya, tragedi seperti itu tidak boleh dinormalisasikan seolah-olah ia satu perkara biasa kerana tiada apa yang biasa tentang apa yang sedang berlaku."Setiap kehilangan nyawa di sekolah adalah bukti nyata kegagalan dasar, kelemahan kepimpinan, dan kecuaian institusi. Kegagalan melindungi anak-anak ini bukan hanya kegagalan kementerian ia kegagalan moral dan tanggungjawab seluruh kerajaan," ujarnya.Dalam pada itu, beliau menasihatkan kerajaan supaya berhenti beretorik dan mula bertindak kerana jika setiap hari gagal bertindak, maka ia membawa risiko keselamatan buat anak-anak di sekolah.