PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan tujuh pemain warisan yang digantung ketika ini oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tetap mempunyai semangat tinggi untuk berjuang bersama skuad kebangsaan.Menurut Cklamovski, walaupun ketujuh-tujuh pemain warisan itu tidak dapat bersama pasukan buat masa ini, mereka merupakan rakyat Malaysia dan memiliki keinginan yang kuat untuk membantu pasukan negara dalam setiap perlawanan.Beliau dalam masa sama turut menyatakan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan."Para pemain berhak menerima segala pujian atas usaha dan komitmen mereka. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyokong yang hadir memberikan sokongan kerana kehadiran dan sorakan mereka benar-benar memberikan dorongan tambahan ketika kami memerlukannya."Sokongan itu amat penting buat para pemain. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Ismail) yang sentiasa berada di belakang kami. Kepercayaan baginda terhadap pasukan serta segala sokongan yang diberikan membolehkan kami mencapai apa yang telah kami lakukan hari ini."Saya tahu semua pemain dalam pasukan ini turut memikirkan tentang tujuh pemain yang tidak bersama kami pada hari ini kerana mereka juga rakyat Malaysia dan mempunyai keinginan yang kuat untuk berada di sini demi mewakili negara," katanya selepas kemenangan 5-1 ke atas Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.Menurut Cklamovski, kemenangan besar tersebut diharapkan dapat menjadi detik terbaik buat peminat dan mereka dapat terus memberikan sokongan kepada pasukan negara dalam perlawanan akan datang."Kemenangan ini dengan lima jaringan adalah untuk negara, untuk mereka yang tidak dapat bersama kami, dan untuk semua penyokong. Saya berharap seluruh rakyat terus berdiri di belakang pasukan ini bagi menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.Sebelum ini, FIFA telah mengeluarkan dokumen penuh penghakiman yang mendedahkan asal usul sebenar tujuh pemain warisan negara yang digantung kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.Tujuh pemain terbabit ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.