SHAH ALAM - Dua senjata yang dirampas dalam kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan) maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa dipercayai dibeli menerusi platform dalam talian.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pisau serta kerambit berkenaan dibeli secara dalam talian."Siasatan mendapati hanya pisau digunakan untuk menikam mangsa ketika kejadian, manakala kerambit tidak digunakan."Selain itu, berdasarkan siasatan, keluarga suspek tidak mengetahui mengenai senjata yang dimiliki suspek itu," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.Katanya, polis kini masih menyemak tempoh suspek memiliki senjata berkenaan."Setakat ini, kita hanya mendapati kaedah pembelian senjata itu, namun sejak bila suspek memilikinya masih dalam siasatan lanjut."Semakan turut mendapati tiada pemeriksaan dilakukan terhadap beg-beg pelajar sebelum memasuki sekolah berkenaan sebelum ini," katanya.Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Selasa, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan) maut disyaki ditikam oleh seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini.Menurut laporan, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah, manakala suspek merupakan pelajar sekolah yang sama.