KUALA LUMPUR - Penasihat DAP, Lim Guan Eng berjaya dalam permohonan pada Rabu, bagi mendapatkan semula pasportnya secara kekal yang disimpan di Mahkamah Sesyen di sini sehingga perbicaraan kes suapan berkaitan terowong di Pulau Pinang, selesai.Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan perlu ke luar negara berhubung tugas rasminya sebagai Pengerusi Kehormat Asean-Chian Association for the Promotion of Industrial Cooperation and Development (ACAPICD).Semasa membaca keputusan, hakim berkata, mahkamah membenarkan Guan Eng, 64, selaku pemohon menerima semula dokumen perjalan antarabangsa berkenaan secara kekal."Bagaimanapun syarat jaminan itu diganti dengan pemohon melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada minggu pertama setiap bulan, sehingga kes selesai."Mahkamah mengekalkan jumlah jaminan RM1 juta terhadap pemohon," katanya.Semasa prosiding, peguam, Mohd Haijan Omar yang mewakili Guan Eng berkata, ahli politik itu telah dilantik sebagai salah seorang Pengerusi Kehormat ACAPICD oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Menurutnya, selaku salah seorang daripada pengerusi kehormat, pemohon dikehendaki meneruskan perjalanan ke luar negara dengan kerap."Beliau memohon pasport secara kekal bukan untuk bercuti tetapi bagi urusan rasmi bagi mewakili kerajaan Malaysia."Tiada orang lain yang boleh hadir atas kapasiti pemohon maka jika anak guam perlu kerap kali hadir ke mahkamah untuk mendapatkan passport secara sementara, ia akan meremehkan dan memalukan tertuduh," katanya.Permohonan berkenaan mendapat bantahan daripada pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh.Beliau berkata, permohonan mendapatkan passport secara sementara biarpun dibuat secara kerap di mahkamah, tidak termasuk dalam perkara yang meremehkan atau memalukan."Saya percaya mana-mana pihak yang didakwa dalam kes jenayah akan hadapi perkara sama."Mereka perlu membuat permohonan untuk mendapatkan pasport sementara malah permohonan berkenaan tidak dibantah oleh pihak pendakwaan," katanya.Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februaru 2015 dan 22 Mac 2017.