SHAH ALAM - Remaja lelaki berusia 14 tahun yang menikam pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa dipercayai bertindak demikian akibat dorongan emosi dan pengaruh media sosial.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua faktor itu dipercayai mendorong suspek melakukan perbuatan tersebut."Siasatan lanjut berkaitan punca kejadian ini masih dijalankan, namun dipercayai suspek bertindak demikian akibat dorongan emosi dan pengaruh media sosial."Siasatan turut mendapati suspek tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum kejadian berlaku," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.Katanya, hasil siasatan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang masalah mental."Bagaimanapun, suspek akan dirujuk untuk penilaian psikiatri selepas siasatan selesai dan kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya."Semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod salah laku disiplin di sekolah," katanya.Menurutnya, seramai 57 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini."Antara individu yang diambil keterangan termasuk pelajar, guru serta ahli keluarga suspek dan mangsa."Selain itu, pihak polis turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan, dan siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan," katanya.