'Dunia ini palsu. Saya sudah menang’ - Nota suspek tikam pelajar dirampas polis

SHAH ALAM – "Dunia ini palsu. Saya sudah menang."Itu antara ayat yang tertulis dalam nota dipercayai milik remaja lelaki berusia 14 tahun yang menikam rakan sekolahnya dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, nota berkenaan ditemui semasa tangkapan dibuat terhadap suspek."Ya, saya sahkan pihak polis ada menemui nota ini. Ia dirampas bersama suspek ketika pemeriksaan awal dijalankan dan bukan di dalam tandas tempat kejadian berlaku."Berkaitan kandungan dalam nota ini, ia masih dalam siasatan lanjut pihak polis," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.Katanya, siasatan dijalankan merangkumi semua aspek termasuk latar belakang suspek dan mangsa."Setakat ini, tiada unsur buli dikesan dalam kejadian ini."Polis memandang serius insiden ini dan menyeru semua pihak termasuk sekolah serta masyarakat untuk bersama memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara," katanya.Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Selasa, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.