KUALA NERUS – Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) melibatkan 200 sekolah berisiko di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya menjelang November ini.Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, projek berkenaan merupakan pelaksanaan fasa pertama di bawah inisiatif Kerajaan Madani dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.Menurutnya, kerja pemasangan telah dimulakan sejak Ogos lalu selepas pihaknya mengenal pasti sekolah yang berisiko tinggi melibatkan kes buli dan salah laku pelajar."Kita telah kenal pasti sekurang-kurangnya 200 sekolah yang mempunyai risiko tinggi melibatkan kejadian seperti buli dan salah laku pelajar."Kerja pemasangan kini sedang dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya sebelum penutupan akaun kerajaan pada awal Disember ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Persaraan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu 2025 di sini pada Rabu.Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif itu bukan sahaja membantu meningkatkan tahap pemantauan keselamatan di sekolah, malah memudahkan siasatan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini."Penentuan lokasi dan jumlah kamera di setiap sekolah akan dibuat berdasarkan keperluan serta nasihat daripada Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tiada pelanggaran terhadap aspek privasi pelajar dan guru."Kita tidak boleh memasang secara sembarangan kerana ada isu privasi yang perlu dijaga."Sebab itu, lokasi dipilih dengan teliti agar CCTV benar-benar memberi impak positif terhadap keselamatan. Ada sekolah mungkin lapan unit kamera, ada pula yang sehingga 10 unit," katanya.Beliau turut memaklumkan, KPM bercadang memperluaskan pemasangan CCTV ke lebih banyak sekolah pada masa akan datang jika fasa pertama penggunaan alatan itu menunjukkan hasil positif.Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekolah yang mempunyai rekod kes buli dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini antara kriteria utama pemilihan bagi pemasangan CCTV berkenaan.Selain itu, kepadatan penghuni atau enrolmen murid, perlindungan sedia ada (sama ada ketiadaan CCTV atau liputan kamera yang tidak mencukupi) serta kesiapsiagaan infrastruktur elektrik antara kriteria lain ditetapkan bagi pemasangan alatan tersebut.