Bunuh rakan senegara: Dua warga Myanmar ditahan

CAMERON HIGHLANDS - Polis menahan dua lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki senegara mereka dalam kejadian di Taman Oriental Lily, Tringkap di sini pada Isnin.Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Pemangku Superintenden Azri Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.54 malam.Menurutnya, mangsa iaitu seorang lelaki warga Myanmar berusia 50 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom Tanah Rata sebelum disahkan meninggal dunia pada Selasa manakala isterinya yang juga berusia 50 tahun turut cedera."Bertindak atas maklumat, polis telah menahan dua lelaki warga Myanmar di taman sama kira-kira jam 12.05 tengah malam Selasa bagi membantu siasatan."Kita juga turut merampas beberapa barang dipercayai digunakan dalam kejadian termasuk dua bilah pisau dan sebatang besi beroda," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Jelasnya, siasatan awal forensik mendapati terdapat kesan luka di leher, kepala, dagu, pipi kanan dan bawah telinga kanan mangsa akibat objek tajam."Bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pada Selasa mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di leher yang menyebabkan arteri karotid terputus," jelasnya.Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh dan kedua-dua suspek kini direman sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut.Dalam pada itu, Azri menasihatkan orang ramai tidak menularkan sebarang maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan.