SHAH ALAM - Polis memberi amaran agar sebarang penyebaran gambar serta video berkaitan kes seorang pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pada Selasa dihentikan segera.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tindakan menyebarkan bahan berkenaan amat tidak beretika dan boleh menjejaskan siasatan.Beliau berkata, tindakan itu juga boleh mengganggu emosi keluarga mangsa dan suspek yang kedua-duanya masih di bawah umur."Kedua-dua mereka, iaitu mangsa dan suspek, masing-masing di bawah umur. Jadi gambar dan video mereka tidak boleh disebarkan di mana-mana platform."Pihak polis sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengekang penularan kandungan tersebut di media sosial," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.Katanya, orang ramai serta pihak media dinasihatkan supaya menghormati privasi keluarga mangsa dan memberi ruang kepada mereka untuk menenangkan diri."Mereka kini sedang berduka. Jangan tambah tekanan terhadap mereka, hormati privasi mereka," katanya.Mengulas lanjut, Shazeli berkata, belum ada sebarang kes jenayah dilaporkan berlaku di sekolah berkenaan sebelum insiden tragis itu."Polis akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri bagi mencari pendekatan yang lebih berkesan untuk meningkatkan keselamatan di sekolah-sekolah seluruh negeri."Kami mahu memperkukuh langkah pencegahan jenayah dan memastikan persekitaran sekolah lebih selamat," ujarnya.Menurut beliau, polis sentiasa proaktif menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah melalui pelbagai program dan inisiatif, termasuk kempen pencegahan jenayah bagi mendidik pelajar tentang keselamatan diri.Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Selasa, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.