SEREMBAN - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tujuh pertuduhan meragut barang kemas milik tujuh wanita antara Mei 2024 hingga Ogos lalu.Tertuduh, Mohamad Halikhwan Halbahri, 35, yang hadir ke mahkamah dengan tangan kirinya beranduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam selepas kertas pertuduhan dibacakan.Mengikut tujuh pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh telah melakukan samun dan rompak dengan cara meragut rantai tangan dan rantai leher emas milik tujuh mangsa wanita berusia antara 24 hingga 67 tahun.Kesalahan itu dilakukan di lokasi sekitar Seremban pada 23 Mei 2024 dan tahun ini iaitu pada 15 Januari, 6 dan 16 Mei, 22 Jun, 3 Julai dan 26 Ogos antara jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau sebat.Timbalan Pendakwa Raya, Nurnadiahani Mohd Ideris menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan.Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan minimum kerana hanya mencari rezeki dengan membantu ibunya yang juga ibu tunggal berniaga lemang.Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM45,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati, suspek mengaku terlibat dalam 21 kes jenayah ragut di sekitar Seremban.Menurutnya, suspek telah ditahan semasa pemantauan Ops Sentap di Taman Tuanku Jaafar, Senawang di sini pada 25 September lalu.Beliau berkata, suspek yang menunggang motosikal Honda RS150 dengan nombor pendaftaran palsu telah bertindak agresif dengan cuba melanggar anggota polis ketika cuba melarikan diri sebelum ditahan selepas motosikalnya terbabas.