Statistik turun padang: DOSM bawa literasi data ke Sungai Koyan

PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terus memperluas usaha membawa ilmu dan kesedaran statistik ke seluruh pelosok negara termasuk kawasan pedalaman menerusi sambutan Hari Statistik Negara (HSN) Ke-9 yang dilaksanakan tahun ini di Sungai Koyan, Kuala Lipis, Pahang.Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pemilihan kawasan luar bandar itu menggambarkan hasrat DOSM menjadikan statistik sebagai milik semua rakyat, bukan hanya kelompok profesional atau pembuat dasar di bandar."Kita mahu literasi statistik sampai ke kawasan luar bandar seperti Sungai Koyan. Kesedaran mengenai kepentingan data dan cara menggunakannya mesti ditingkatkan agar masyarakat di pedalaman juga mendapat manfaat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Rabu.Menurut beliau, usaha membawa sambutan ke kawasan tersebut menunjukkan statistik bukan sesuatu yang eksklusif tetapi perlu difahami oleh setiap lapisan masyarakat bagi membolehkan mereka membuat keputusan tepat dalam kehidupan seharian."Kita mahu sampaikan kepada masyarakat luar bandar bahawa statistik bukan angka kosong. Ia alat penting untuk memahami keadaan sebenar ekonomi, sosial dan alam sekitar di kawasan mereka sendiri," jelasnya.Selain aktiviti utama di Sungai Koyan, DOSM turut menganjurkan program literasi statistik dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama penduduk di beberapa kampung sekitar Lipis bagi mendekatkan lagi kefahaman terhadap fungsi data."Kita memilih lima hingga enam kampung untuk aktiviti literasi statistik. Pendekatan ini bukan sahaja mendidik tetapi juga membina hubungan langsung dengan masyarakat tempatan," katanya.Mohd Uzir menjelaskan, sambutan kali ini turut melibatkan kerjasama penghulu, ketua komuniti dan institusi pendidikan bagi memperkukuh kefahaman orang ramai terhadap nilai data dalam perancangan pembangunan setempat.Beliau berkata, selain program fizikal, rakyat di seluruh negara juga boleh mengikuti sambutan HSN melalui platform digital DOSM termasuk TikTok, Facebook, Instagram dan X (Twitter) bagi memperoleh maklumat terkini serta menyertai perbincangan maya."Kalau taip ‘Hari Statistik Negara’ di mana-mana platform media sosial, semua maklumat akan terus muncul. Kita mahu orang ramai tahu, data ada di hujung jari mereka," ujarnya.Dalam masa sama, pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang sambutan seperti debat statistik antara institusi pengajian tinggi, pertandingan pidato dan Datathon dengan penyertaan lebih 90 kumpulan seluruh negara.Menurutnya, aktiviti seumpama itu bukan sekadar pertandingan, sebaliknya cara membentuk generasi muda yang celik data dan mampu mengaplikasikan statistik dalam membuat keputusan masa depan."Apabila pelajar dan anak muda memahami statistik, mereka lebih berfikir secara analitik dan mampu merancang berdasarkan bukti, bukan andaian," katanya.Mengulas lebih lanjut, Mohd Uzir berkata, literasi statistik yang tinggi penting untuk membantu rakyat membuat keputusan harian, termasuk dalam urusan pekerjaan, perniagaan dan penempatan."Kalau seseorang mahu buka perniagaan, dia perlu tahu profil penduduk di kawasan itu. Adakah pelanggan lebih ramai anak muda, keluarga atau warga emas? Semua ini boleh dirujuk melalui data statistik setempat," katanya.DOSM juga telah memperkenalkan kalkulator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang membolehkan rakyat menilai kos sara hidup mengikut daerah dan kawasan, sekali gus menjadi panduan dalam menetapkan keperluan hidup yang munasabah."Dengan maklumat ini, pekerja dan majikan boleh berbincang secara lebih telus mengenai keperluan kehidupan setempat. Ia membantu menyeimbangkan pendapatan dan kos sara hidup," jelas beliau.Mohd Uzir menegaskan, statistik yang kukuh dan mudah diakses memberi peluang kepada rakyat membuat keputusan berasaskan fakta, termasuk mengenal pasti potensi ekonomi di kawasan mereka."Kalau masyarakat tahu berapa banyak kebergantungan kita terhadap import makanan misalnya, mereka akan nampak peluang dalam sektor pertanian. Data membuka mata kepada peluang," katanya.Beliau menambah, kesedaran menggunakan data dalam kehidupan juga membantu masyarakat memahami isu besar seperti perubahan iklim dan pencemaran yang memberi kesan langsung kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat."Apabila orang ramai melihat perubahan suhu atau kualiti udara melalui data sebenar, mereka lebih memahami tindakan yang perlu diambil. Statistik membimbing kita membuat keputusan yang betul," ujarnya.Katanya lagi, literasi statistik yang dipupuk dari akar umbi penting untuk memastikan kemajuan negara berlaku secara inklusif serta berasaskan maklumat yang tepat."Kemajuan bukan hanya diukur pada angka pertumbuhan ekonomi, tetapi pada sejauh mana rakyat mampu menggunakan statistik untuk memperbaiki kehidupan mereka," tegas beliau.Mohd Uzir menzahirkan rasa syukur apabila Malaysia kini menduduki tangga pertama dunia dari segi ketersediaan dan capaian data, hasil usaha berterusan memupuk budaya statistik di seluruh negara sejak sembilan tahun lalu."Kedudukan nombor satu ini membuktikan rakyat Malaysia semakin menghargai nilai data. Ia hasil kesedaran yang kita pupuk bersama rakyat sepanjang sembilan kali sambutan Hari Statistik Negara," katanya.Beliau berkata, pencapaian itu bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada DOSM, malah simbol kepada kematangan negara dalam mengurus dan menggunakan data sebagai asas pembangunan mampan."Apabila kita mempunyai sistem data yang kuat dan mudah diakses, ia mencerminkan kecekapan tadbir urus serta kemajuan masyarakat yang berpaksikan ilmu dan fakta," ujarnya.Dengan pencapaian tersebut, Malaysia kini menjadi penanda aras global dalam bidang statistik, sekali gus membuktikan bahawa usaha membudayakan data di setiap peringkat masyarakat mampu membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.