Dua apartmen diserbu, dadah bernilai RM5.33 juta dirampas

JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah bernilai RM5.33 juta yang menjadikan apartmen berpagar dan mempunyai pengawal sebagai pusat penyimpanan dadah tumpas selepas empat lelaki tempatan ditahan dalam tiga serbuan berasingan sekitar bandaraya ini pada minggu lalu.Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor pada 10 hingga 11 Oktober lalu hasil risikan berterusan.Jelas beliau, serbuan pertama di sebuah apartmen di Taman Delima membawa kepada penahanan dua lelaki serta rampasan pelbagai jenis dadah termasuk serbuk MDMA seberat 10 kilogram dan pil ekstasi dua kilogram."Serbuan kedua pula di tepi jalan kawasan Taman Sri Tebrau pula membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki bersama syabu seberat 1.44 gram."Manakala serbuan ketiga di sebuah apartmen di Jalan Larkin berjaya menahan suspek keempat dan merampas sejumlah besar dadah pelbagai jenis termasuk serbuk MDMA (15.31 kg), serbuk ekstasi (3.46 kg), pil ekstasi (3.49 kg), pil Erimin 5, ganja, ketamin dan syabu."Secara keseluruhan, polis merampas 37.62 kilogram dadah, jumlah yang mampu merosakkan 115,948 individu jika dipasarkan," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Rabu.Menurut Ab Rahaman, sindiket dipercayai aktif sejak Mac lalu dan menyewa apartmen berpagar sebagai tempat penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan terutama pusat hiburan."Kesemua suspek berusia 35 hingga 54 tahun itu ditahan reman tujuh hari bermula 11 hingga 17 Oktober ini. Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine."Siasatan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.Tambah beliau, selain dadah, polis turut menyita tiga buah kereta dan pelbagai barangan kemas bernilai RM123,200, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM5.45 juta."Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke Hotline JSJN di 012-208 7222," ujarnya.