JASIN : Kertas siasatan berhubung kes salah laku seksual melibatkan empat pelajar lelaki tingkatan lima terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata keputusan sama ada kesemua pelajar berkenaan akan dituduh minggu ini dijangka diketahui hari ini. Beliau menyatakan siasatan kes telah dilengkapkan dan polis kini menunggu arahan lanjut daripada pihak DPP. Pada 11 Oktober lepas, akhbar melaporkan empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan SPM bulan depan telah direman bagi membantu siasatan. Kesemua suspek direman enam hari bermula 11 hingga 16 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan. – Bernama