Putera MIC Kebangsaan gesa KPM laksana Dasar Sekolah Selamat cegah buli

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa segera melaksanakan Dasar Sekolah Selamat yang merangkumi komponen pencegahan buli secara menyeluruh. Ketua Putera MIC, Dr S Shatesh Kumar berkata, ini termasuk pelaksanaan mekanisme pelaporan wajib, intervensi awal dan penyediaan sokongan psikososial kepada warga sekolah.Menurutnya, negara lain membuktikan bahawa pelaksanaan dasar jelas mampu menurunkan kadar buli dengan ketara, misalnya Korea Selatan yang memperkenalkan 'School Violence Prevention Act' iaitu mewajibkan setiap sekolah menubuhkan jawatankuasa pencegahan dan melaporkan kes buli terus kepada pihak berkuasa pendidikan tempatan.Selain itu, jelasnya, Finland juga melaksanakan Program KiVa iaitu kerangka nasional berasaskan intervensi awal, latihan guru dan pendidikan empati yang berjaya mengurangkan lebih 50 peratus kes buli di sekolah rendah dalam tempoh lima tahun."Malaysia tidak perlu menunggu lebih banyak tragedi untuk bertindak, kita kena berani melaksanakan dasar dengan kesungguhan politik yang sama."Justeru, Putera MIC meminta semua pihak termasuk kerajaan, pihak sekolah, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar sendiri untuk bersatu dalam satu gerakan nasional bagi menjayakan kempen #MakeSchoolsSafeAgain."Gerakan ini mesti dilaksanakan sebagai satu tanggungjawab sosial agar setiap sekolah kembali menjadi tempat yang aman, selamat dan kondusif untuk perkembangan sahsiah serta pembelajaran murid," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Sebelum ini, Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM merekodkan kes buli di sekolah meningkat apabila sebanyak 7,681 kes dilaporkan tahun lalu.Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan, statistik SSDM KPM merekodkan sebanyak 3,883 kes buli pada 2022 dan meningkat kepada 6,528 kes pada 2023.Mengulas lanjut, Shatesh menyifatkan 7,681 kes buli yang dilaporkan pada tahun lalu sebagai amat membimbangkan dan memberi gambaran jelas bahawa persekitaran sekolah di negara ini semakin tidak selamat untuk pelajar.Tambah beliau, peningkatan drastik itu sepatutnya menjadi amaran awal kepada semua pihak, khususnya KPM agar mengambil tindakan segera dan berkesan.Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sejauh mana kementerian benar-benar serius dalam menangani isu buli secara menyeluruh.Ia kerana menurutnya, setiap kali timbul kes melibatkan buli, rogol atau bunuh di sekolah, tindakan yang diambil sering terhenti pada fasa penubuhan jawatankuasa khas dan pelaksanaan kajian."Sampai bila kita mahu berputar dalam kitaran reaksi yang sama tanpa sebarang perubahan dasar nyata dan berkesan?"Dahulu, sekolah merupakan tempat yang selamat, mendidik dan membentuk sahsiah pelajar. Namun kini, realitinya semakin membimbangkan apabila sekolah tidak lagi menjadi ruang yang selamat."Putera MIC berpandangan bahawa kelewatan tindakan dan ketiadaan pelan intervensi dasar yang kukuh boleh dianggap kelalaian institusi dalam melindungi keselamatan murid," ujarnya.