PETALING JAYA – "Saya tidak sangka dia yang pendiam mampu melakukan sebarang keganasan, sekarang saya tidak tahu cara mahu berdepan dengan keluarga mangsa."Demikian kata bapa kepada remaja lelaki berusia 14 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun sehingga meragut nyawanya di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini pada Selasa.Lelaki berusia 40 tahun itu berkata, tiada kata-kata atau permohonan maaf yang mampu menebus kejadian yang berlaku.Katanya, apa sahaja yang dikatakan sekarang, tidak akan membawa sebarang makna."Ia tidak akan mengembalikan anak perempuan mereka, hati saya remuk dan hancur selepas mengetahui kejadian itu," kata lelaki berkenaan dalam temu bual bersama akhbar China Press.Bapa itu berkata, anaknya yang juga introvert, tidak pernah menunjukkan kecenderungan melakukan jenayah.Menurutnya, dia juga tidak pernah bercerita mengenai mangsa kepada keluarga.Walaupun prestasi akademik anaknya lemah, namun dia berkata, remaja berkenaan bukan seorang yang suka menimbulkan masalah.Pada Rabu, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, bagi membantu siasatan kes menikam pelajar perempuan 16 tahun di sebuah sekolah menengah berkenaan.Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis.Suspek yang juga pelajar Tingkatan Satu, direman sehingga Selasa minggu depan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Pada Selasa, media melaporkan mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga sekolah sama, meninggal dunia di lokasi kejadian, dipercayai berlaku sekitar jam 9.30 pagi.Susulan kejadian itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, suspek berjaya ditahan pada hari sama.Usaha media untuk mengambil gambar suspek ketika dibawa ke mahkamah tidak berjaya, kerana pelajar berkenaan dibawa menerusi laluan dalam ke lokap sementara.