Edisi keempat Global Sumud Flotilla dijangka berlepas ke Gaza bulan depan - Mapim

SHAH ALAM - Edisi keempat Misi kemanusiaan konvoi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka berlepas ke Gaza pada pertengahan atau penghujung bulan November ini.Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Muhammad Azmi Abdul Hamid berkata, GSF akan menggunakan pengalaman terdahulu bagi mempersiapkan konvoi dengan strategi lebih kemas untuk menembusi sekatan barisan pertahanan tentera Zionis."Kita sedang merancang untuk masuk ke perairan Gaza menjelang Ramadan ini... oleh itu, kita sasarkan paling lewat konvoi bantuan ini perlu memulakan perjalanan sama ada pada pertegahan atau penghujung bulan depan."Kita juga akan mengadakan perbincangan di peringkat antarabangsa bagi mengkaji semula tiga siri konvoi terdahulu yang terkandas akibat dipintas tentera Israel, dan merangka strategi memecah kepungan mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Mapim di sini pada Rabu.Beliau berkata, setakat ini, saiz armada yang terlibat masih sama iaitu 1,000 buah bot dan kapal dari seluruh dunia yang dimuatkan dengan pelbagai jenis bantuan sebelum bergabung di Laut Mediterranean.Muhammad Azmi berkata, konvoi itu juga bakal disertai beberapa kumpulan antaranya dari perairan Gibraltar, Barcelona, Tunisia, Itali, Turkiye dan memasuki Palestin melalui perairan Gaza secara berasingan.Beliau juga berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentangkan cadangan menghantar 200 kontena berisi barangan keperluan ke Gaza melalui laluan darat iaitu pintu Rafah."Setelah perbincangan dibuat, kita perlu desak (Presiden Mesir) Abdel Fattah al-Sisi untuk membuka pintu sempadan Rafah bagi membolehkan semua kontena itu dibawa masuk," katanya.Terdahulu, Muhammad Azmi menerima kunjungan Presiden Institut Akhbar Malaysia, Datuk Yong Soo Heong di Ibu Pejabat Mapim di sini bagi memeterai memorandum persefahaman.Perjanjian itu antara lain ialah bagi menjalin kerjasama strategik jangka panjang dalam usaha memperkukuh peranan media terhadap isu-isu kemanusiaan sejagat dan memperluas kefahaman berhubung konflik kemanusiaan global. - Bernama