Bangunan pejabat DUN runtuh

KUALA LANGAT - Seorang wanita cedera selepas tertimbus dalam kejadian runtuhan membabitkan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang di Dewan Wawasan Kampung Medan, Telok Panglima Garang pada petang Rabu.Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Andalas bergegas ke lokasi."Setibanya pasukan bomba pada jam 4.43 petang didapati berlaku runtuhan membabitkan bangunan pejabat berkeluasan 20 x 40 kaki persegi yang dikategorikan sebagai bangunan kelas B," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Beliau memberitahu, semasa kejadian, seorang mangsa wanita berusia 51 tahun terperangkap di bawah runtuhan dalam keadaan sedar.Jelas beliau, anggota bomba segera menjalankan kerja-kerja menyelamat dan mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 5.05 petang dengan kecederaan pada bahagian pinggang dan paha.Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi untuk rawatan lanjut.Tambahnya, runtuhan turut melibatkan sebuah surau Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) berhampiran berkeluasan 50 x 60 kaki persegi yang diklasifikasikan sebagai bangunan kelas A."Terdapat kira-kira tujuh hingga sembilan pelajar KAFA mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat oleh pihak KKM di tempat kejadian."Punca sebenar runtuhan masih dalam siasatan," jelas beliau.