Pasukan pengaman Gaza: Malaysia sedia hantar satu batalion tentera

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia menghantar satu batalion tentera ke Gaza bagi menyertai pasukan pengaman sekiranya mendapat mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persiapan bagi penugasan itu telah pun dibuat dan Malaysia kini menunggu keputusan rasmi daripada Majlis Keselamatan PBB sebelum sebarang tindakan lanjut diambil."Kita memang dah daftar satu batalion dan memang bersedia jika dipilih. Masa saya menyertai mesyuarat bersama menteri-menteri negara lain yang mempunyai pasukan pengaman, Malaysia telah nyatakan kesediaan untuk membantu di Gaza."Kita memang berniat untuk berada dan bantu di sana, tapi kita tunggu keputusan Majlis Keselamatan PBB. Kalau Malaysia dipilih untuk menghantar, kita dah bersedia dengan satu batalion," katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Perhebat 2026-2035 di sini, pada Rabu.Beliau berkata, pasukan yang akan digerakkan bukan daripada kontinjen sedia ada di Lubnan, sebaliknya melibatkan batalion baharu yang disediakan khusus bagi misi tersebut."Itu setiap tahun kita panggil balik pasukan di Lubnan, jadi untuk Gaza nanti kita ada batalion lain yang akan bersedia," jelasnya.Ditanya mengenai kos misi itu, beliau menjelaskan ia adalah perkara kedua kerana yang paling penting membantu penduduk di Gaza."Kalau kita nak tolong, tak perlu cerita berkenaan kos dahulu, dan yang kita nak hantar itu yang ada (tentera) di Malaysia, yang di Lubnan itu setiap tahun memang kita panggil balik."Jadi kita ada batalion lain akan dihantar," katanya.Terdahulu, media melaporkan Malaysia bersedia menghantar pasukan pendamai ke Gaza bagi menjamin keamanan susulan perjanjian pelan damai yang ditandatangani di Mesir, semalam.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkaitan penghantaran pasukan itu akan dibincangkan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seterusnya diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB.