Sindiket pindah minyak masak peket ke dalam tong, kaut untung berganda

KLANG - Taktik licik sindiket menyeleweng minyak masak bersubsidi dengan menukar bungkusan asal ke dalam tong plastik dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor dalam serbuan di kawasan Perindustrian Klang Utama di sini pada Rabu.Sindiket berkenaan dikesan menjalankan kegiatan itu secara tersusun dengan mendapatkan bekalan minyak masak peket bersubsidi daripada pembekal tertentu.Sindiket kemudian memotong bungkusan secara manual dan memindahkannya ke dalam tong plastik berwarna kuning berkapasiti 17 kilogram.Minyak tersebut kemudiannya dijual semula pada harga lebih rendah di pasaran tempatan dan luar negara bagi mengaut keuntungan berlipat ganda.Difahamkan, aktiviti penyelewengan itu telah beroperasi lebih enam bulan dengan harga jualan sekitar RM76 bagi satu tong, sedangkan minyak di pasaran dijual pada harga RM118.Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 1 petang itu hasil risikan selama sebulan dan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, melibatkan kekuatan 30 pegawai serta anggota.Beliau berkata, pemeriksaan awal menemui cebisan helaian dokumen berkaitan bekalan minyak masak peket dan urus niaga yang dipercayai cuba dimusnahkan."Pemeriksaan awal mendapati dua premis aktif beroperasi dan salah satunya dijadikan stor untuk aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi."Serbuan menemukan lambakan bungkusan minyak masak peket yang telah dipotong serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses minyak tersebut," katanya ketika sidang akhbar di lokasi operasi di sini pada Rabu.Katanya, hasil serbuan itu turut membawa kepada rampasan 133,000 tan minyak masak bersubsidi dengan anggaran nilai RM333,000."Seramai sembilan individu terdiri daripada tujuh warga tempatan dan dua pekerja asing turut ditahan dalam serbuan ini."Tujuh warga tempatan dipercayai pekerja di peringkat pengurusan premis manakala dua lagi ialah buruh warga asing," katanya.Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan."Syarikat terbabit juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)."KPDN akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak diseleweng pihak tidak bertanggungjawab," katanya.Mohd Zuhairi berkata, tindakan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Kita Gempur’ dalam menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan dan ketirisan barang kawalan bersubsidi."Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyelewengan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN," katanya.