Zara Qairina disoal beberapa pelajar senior mengenai kes kecurian - Saksi

KOTA KINABALU - Saksi ke-23 bagi inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu mahkamah bahawa pelajar Tingkatan Satu itu disoal oleh beberapa pelajar senior mengenai tiga kes kecurian melibatkan kehilangan dompet, kad mesin juruwang automatik (ATM), wang tunai dan pin bendera.Perkara itu didedahkan oleh saksi yang merupakan kanak-kanak ke-14 dalam keterangannya melalui prosiding in camera di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner di sini pada Rabu.Peguam Shahlan Jufri berkata, saksi merupakan pelajar senior dan mengenali Zara Qairina sebagai pelajar Tingkatan Satu yang tinggal aras yang sama dengannya."Dalam keterangannya, saksi mengesahkan bahawa pada malam 15 Julai lalu, Zara disoal oleh beberapa pelajar senior mengenai tiga kes kecurian iaitu kes kecurian dompet, kad ATM, wang tunai dan pin bendera Malaysia kepunyaan saksi."Saksi berkata ada pelajar junior lain minta izin untuk buat 'spot check' terhadap loker dan bag Zara. Saksi kemudian diberitahu oleh seorang pelajar junior yang terlibat dalam spot check bahawa mereka menemukan pin bendera di dalam beg Zara," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.Katanya lagi, saksi memaklumkan dia tidak memastikan sama ada pin tersebut memang dijumpai di beg Zara atau tidak."Saksi berkata dia membenarkan pelajar junior tersebut untuk melakukan spot check. Pada masa yang sama, saksi berkata amalan spot check bukannya perkara yang biasa. "Saksi mengesahkan saksi ada dalam bilik tersebut ketika spot check berlangsung tetapi dia tidak memantau pelajar semasa mereka membuat spot check. Saksi ini membawa pin bendera yang dijumpai oleh seorang pelajar junior itu ke bilik dorm sebelah untuk berjumpa Zara," katanya.Katanya lagi, semasa saksi masuk dorm tersebut, ada dalam lima hingga enam pelajar dalam bilik dorm tersebut bersama Zara."Saksi berkata dia cuma bertanya Zara tentang pin bendera kepada Zara dan bukan mengenai tuduhan kehilangan barang pelajar-pelajar junior lain. Saksi berkata Zara menafikan tuduhan tentang kecurian pin bendera tersebut."Saksi mengakui dia memang marah pada ketika itu dan menjerit 'bodoh, sial. Apabila Zara tidak mengaku, saksi kemudian keluar dari bilik tersebut dan memanggil seorang lagi rakan pelajar senior dari bilik dorm lain untuk ikut bersama-sama bertanya kepada Zara."Saksi berkata ada kira-kira lima orang mereka dalam bilik dorm bertanyakan soalan secara bergilir-gilir dengan Zara. Mereka bertanya Zara mengenai kehilangan barang dan juga pin bendera saksi. Saksi cuma bertanya pasal pin bendera dia saja dan pada masa ini saksi menjerit 'bodoh, sial' sekali lagi."Kawan-kawan saksi lain juga ada bertanya kepada Zara. Selepas ditanya beberapa soalan secara bergilir-gilir, Zara masih tidak mengaku apa-apa. Saksi berkata tempoh mereka bertanya kepada Zara tidak sampai satu jam. Selepas saksi dan pelajar-pelajar lain selesai menyoal Zara, saksi dan rakan-rakannya meninggalkan bilik," katanya.Shahlan bersama rakan sepasukannya iaitu Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili Ibu kepada Zara Qairina, Noraidah Lamat, yang hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.