KOTA KINABALU – Saksi ke-23 dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia dimaklumkan oleh pelajar lain yang mendakwa melihat Zara Qairina sedang menangis di dalam tandas.Saksi yang merupakan kanak-kanak ke-14 memberi keterangan secara 'in camera' di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di sini, pada Rabu.Peguam, Mohd Azhier Farhan Arisin berkata, saksi memaklumkan bahawa dia mengenali Zara Qairina sebagai pelajar Tingkatan Satu di sekolah yang sama dan tinggal dalam bilik dorm yang sama."Saksi memberitahu dia jarang bercakap dengan Zara kerana selalu meluangkan masa dan tidur di bilik dorm lain bersama rakan-rakannya lain," katanya kepada pemberita di sini.Mohd Azhier berkata, pada jam 12.30 tengah malam, saksi ternampak Zara Qairina berjalan keluar dari bilik dorm namun tidak pasti ke mana pelajar itu pergi."Tidak lama selepas itu, saksi mahu keluar dari bilik dormnya untuk ke dorm lain. Saksi berkata, tiga pelajar datang kepadanya dan memberitahu mereka melihat Zara berada di dalam tandas aras tiga sedang menangis."Saksi mengatakan dia hanya mendiamkan diri dan meneruskan perjalanan ke dorm yang dituju untuk tidur."Saksi tidur di bilik dorm pada malam tersebut bersama rakannya dan tidak tahu apa yang terjadi kepada Zara pada malam itu. Saksi mengatakan hanya dikejutkan kira-kira jam 4 pagi kerana dipanggil oleh Ustaz Azhari," katanya.Menurut Mohd Azhier lagi, sekitar jam 10 malam 15 Julai sebelum saksi tidur, rakan sebiliknya memaklumkan bahawa kad juruwang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM300 miliknya telah hilang."Tidak lama selepas itu, pelajar dari bilik dorm lain juga datang kepadanya dan memberitahu bahawa ada rakan sebiliknya kehilangan barang pada malam yang sama. Pelajar tersebut memaklumkan bahawa dia akan berjumpa dengan Zara untuk bertanya tentang perkara ini."Saksi berkata, semasa berjumpa dengan Zara, rakan sebiliknya memaklumkan bahawa mereka menjumpai pin bendera milik saksi di dalam beg sekolah Zara. Pelajar tersebut kemudian menyerahkan pin bendera itu kepadanya."Saksi berkata, dia mengenali pin tersebut kerana terdapat namanya ditulis di belakang pin itu. Selepas itu, saksi mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Zara bagi bertanya tentang pin berkenaan," katanya."Saksi telah pergi ke dorm sebelah dan pada masa itu, Zara ada bersama seorang pelajar lain. Saksi mendekati Zara dan bertanya kepadanya ‘Zara, macam mana benda ini ada dalam beg kau? Kawan-kawan kau jumpa.’"Saksi berkata, seorang lagi pelajar lain menyambung dan berkata ‘kau mengaku saja kalau kau yang ambil, kami tidak marah juga.’ Tetapi Zara tidak mengaku," katanya.Katanya lagi, saksi memaklumkan bahawa disebabkan Zara tidak mengaku, dia berasa marah."Oleh kerana Zara tidak mengaku, saya merasa marah dan menjerit ‘bodoh, sial’ lalu pergi ke bilik lain untuk memanggil kawan rapatnya untuk bersama-sama bertanya Zara tentang pin benderanya."Saksi berkata, mereka bertanya kepada Zara tentang pin tersebut, namun Zara masih tidak mengaku dan saksi pun marah lalu menjerit kepada Zara dengan berkata ‘bodoh, sial’," katanya.Bagaimanapun, Mohd Azhier berkata, saksi menegaskan bahawa dia tidak memukul Zara Qairina dan tidak melihat sesiapa pun memukulnya."Saksi merasa marah kerana Zara tidak mahu mengaku kesilapannya walaupun pinnya telah dijumpai dalam begnya."Sebelum ini, Zara juga pernah mengambil botol air pelajar lain dan menyimpannya di dalam almari. Selepas saksi memarahi Zara dan dia masih tidak mengaku, saksi tidak meneruskan pertanyaan dan keluar dari dorm tersebut," katanya.