Saksi mengaku jerit 'bodoh, sial' selepas Zara Qairina tak mengaku curi pin bendera

KOTA KINABALU - Saksi ke-23 inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengaku marah dan mengeluarkan kata-kata kesat selepas arwah tidak mengaku walaupun pin bendera miliknya ditemui dalam beg pelajar Tingkatan Satu itu.Peguam Joan Goh berkata, saksi yang merupakan kanak-kanak ke-14 memaklumkan bahawa ketika dia berjumpa dengan Zara Qairina, rakan sebilik remaja itu telah datang kepadanya dan memaklumkan mereka menemui pin bendera berkenaan."Rakan sebilik Zara ini menyerahkan kepada saksi pin bendera tersebut dan saksi cam pin bendera tersebut kerana saksi telah menulis namanya di belakang pin tersebut. Selepas itu, saksi mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Zara untuk bertanya tentang pin tersebut."Saksi telah pergi ke dorm sebelah dan pada masa itu, Zara ada bersama dengan pelajar lain di sana. Saksi mendekati Zara dan bertanya kepada Zara ‘Zara, macam mana benda ini ada dalam beg kau? Kawan-kawan kau jumpa'. Pelajar senior yang satu lagi menyambung berkata 'Kau mengaku saja kalau kau yang ambil, mereka tidak marah juga’. Tetapi Zara tidak mengaku."Oleh kerana Zara tidak mengaku, saksi merasa marah dan menjerit 'bodoh, sial' lalu pergi ke bilik A3-7 untuk memanggil kawan rapat saksi bernama untuk sama-sama bertanya Zara tentang pin bendera," katanya menceritakan semula keterangan saksi selepas selesai prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini, pada Rabu.Tambah Joan lagi, saksi berkata rakannya datang bersama dengan seorang lagi ke bilik tersebut untuk bertanya lagi kepada Zara tentang pin tersebut."Zara masih tidak mengaku. Saksi pun marah dan menjerit kepada Zara dengan berkata 'bodoh, sial'."Saksi tidak ada memukul Zara dan tidak ada melihat sesiapa memukul Zara. Saksi merasa marah kerana Zara tidak mahu mengaku kesilapannya walaupun pin saksi telah dijumpai dalam begnya. Sebelum ini, Zara pun pernah ambil botol air orang lain dan menyimpan botol tersebut dalam almarinya," katanya.Tambah Joan lagi, saksi memberitahu selepas memarahi Zara dan remaja tersebut masih tidak mengaku, dia tidak lagi meneruskan pertanyaan saksi kepada Zara."Saksi telah masuk ke dalam bilik dormnya kira-kira jam 11 malam dan melihat Zara berbaring di atas lantai berdekatan dengan lokernya."Pada jam kira-kira jam 12.30 tengah malam, saksi nampak Zara berjalan keluar dari bilik dorm. Saksi tidak tahu Zara pergi ke mana. Tidak lama selepas itu, semasa saksi mahu keluar dari bilik dorm saksi untuk ke dorm lain, seorang pelajar bersama dua orang kawannya datang kepada saksi dan memberitahu saksi mereka melihat Zara berada di dalam tandas Aras 3 sedang menangis."Pelajar ini dan kawan-kawannya juga memberitahu saksi mereka melihat Zara mengeluarkan kepalanya dari atas dinding bilik tandas dan melihat mereka. Saksi hanya mendiamkan diri dan meneruskan perjalanan ke dorm lain untuk tidur."Saksi telah tidur di bilik dorm tersebut pada malam itu bersama Kawan-kawannya. Saksi tidak tahu apa yang terjadi pada Zara pada malam tersebut dan hanya dikejutkan pada jam lebih kurang 4 pagi kerana dipanggil oleh Ustaz Azhari," katanya.