TEMERLOH - Penubuhan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli bakal menangani isu buli secara lebih menyeluruh melibatkan pelajar bawah 18 tahun sama ada di sekolah kerajaan, swasta dan mana-mana institusi berkaitan.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan tribunal tersebut tidak akan dihadkan kepada sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sahaja."Ia bukan saja sekolah tapi ia juga di bawah kementerian yang ada penjagaan pada sekolah-sekolah mereka sendiri dengan mengusulkan prosedur operasi standard (SOP)."Kalau bawah 18 tahun itu memang kita kena buat sekali dengan Akta Kanak-Kanak. Dan kalau kita nak sasar anti buli ini terbuka kepada lebih 18 tahun, ia kena dalam segmen yang berlainan," katanya.Beliau berkata sedemikian pada pemberita selepas bertemu lebih 500 peserta sempena Townhall Anti Buli Peringkat Negeri Pahang di Dewan Tun Razak di sini pada Rabu.Tambahnya, tribunal ini akan berfungsi di bawah bidang kuasa yang jelas dengan definisi buli yang lebih terperinci meliputi buli fizikal, emosi, mental, sosial, lisan dan dalam talian."Kita akan menetapkan bahawa sesuatu tindakan hanya boleh dikategorikan sebagai buli apabila ia dilakukan berulang kali. Itu kuncinya, mesti lebih daripada sekali," katanya.Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan kelebihan tribunal ialah dari aspek kerahsiaan dan tempoh penyelesaian kes.