SUNGAI PETANI - Seorang anggota bomba pengsan ketika operasi memadam kebakaran di gerai makan dan buah-buahan di tapak pasar malam Taman Kempas di sini pada Rabu.Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nordin Mohd Arshad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, anggota terbabit, Muhammad Fafzrin Zulkepli dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu dilaporkan pengsan semasa menjalankan tugas memadam kebakaran.Menurutnya, mangsa bagaimanapun telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut."Setakat ini, mangsa telah sedar namun masih dirawat di wad kecemasan...masih dalam pemantauan," katanya.Dalam pada itu, jelasnya, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan berlaku kebakaran membabitkan gerai makan dan gerai buah di tapak pasar malam berkenaan."Setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran melibatkan dua buah gerai dengan kemusnahan dianggarkan 70 peratus bagi keseluruhan struktur," katanya.Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan air melibatkan enam anggota dari BBP Tikam Batu serta bantuan pasukan bomba sukarela (PBS) Sungai Petani dan PBS Bakar Arang."Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.55 petang dan kerja-kerja overhaul sedang dijalankan. Tiada mangsa lain dilaporkan terlibat dalam kejadian itu," katanya.Operasi turut dibantu pihak polis (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tujuan keselamatan di lokasi kejadian.